Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt
Saya telah melaksanakan ibadah umrah baru-baru ini. Sebelum mula tawaf umrah, saya telah membersihkan diri dan memakai pantilyner. Adakah sah umrah jika selepas selesai bertahallul dan kembali ke hotel, saya dapati ada sedikit keputihan pada pantilyner? Terima kasih atas pencerahan.
Jawapan
Keputihan adalah najis dan membatalkan wuduk kerana ia keluar daripada had batin faraj (tempat yang tidak wajib dibasuh ketika istinjak). Apabila cecair keluar daripada kawasan faraj yang tidak wajib dibasuh dinamakan ( رطوبة جوفية). Di dalam kitab al-Umm karangan Imam al-Syafi’i menyatakan:
Setiap kencing, mazi, wadi atau sesuatu yang tidak diketahui atau diketahui yang keluar daripada kemaluan, maka semua hukumnya najis kecuali air mani. Ini bermakna sekiranya cairan keputihan datang daripada dalam faraj selain mani, maka statusnya najis.
Merujuk persoalan yang diajukan, umrah puan sah, kerana keputihan itu hanya disedari selepas selesai bertahallul. Ia tidak membatalkan ibadah yang telah selesai. Dalam mazhab Syafi‘i, hukum asal tawaf sah selagi yakin sentiasa berada dalam keadaan berwuduk sepanjang pusingan tawaf.
Sekian, terima kasih.