BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Saya mempunyai masalah waswas dan juga kencing tak lawas (on-off). Setelah beristinja atau mandi, saya sering berasa seperti ada air keluar daripada salah satu saluran bawah. Kadang dia terasa sakit di bahagian lubang seperti ketika keluar air kencing, kadang rasa panas, kadang hanya rasa pergerakan otot dan air. Namun, perasaan ini tidak melibatkan perbuatan meneran dan juga tidak menyebabkan tekanan pada pundi yg sering dirasakan sebelum berhadas.

Saya memakai lampin wanita sepanjanh hari, namun kadang terlupa bawa sekali ke tandas dan perlu ke bilik. Ketika berjalan atau memakainya di bilik, saya berasa pergerakkan otot dan seperti air yg sedikit keluar. Ini menyebabkan saya sering terburu2 untuk mengelakkan air tersebut bercampur dgn bekas air basuhan yg tidak dilap.

Soalan saya, adakah lantai yg terkena air basuhan yg mengalir turun sewaktu menyalin lampin tersebut najis disebabkan kemungkinan bercampur dgn air yg terkeluar dari saluran? Jika ia kemungkinan air istinja yg termasuk lubang dan terkeluar semula, adakah ia dikira najis dan bolehkah ia dimaafkan jika ia sering berlaku?

Terima kasih kerana menjawab

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan, Islam meletakkan sesuatu hukum itu adalah berdasarkan kepada sesuatu yang jelas, nyata dan yakin sahaja. Manakala bagi sesuatu yang tidak jelas, tidak nyata dan tidak yakin itu maka perkara tersebut adalah terkecuali dan tidak ada hukum. Sehubungan itu, jika kita menghukumkan sesuatu adalah bernajis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan: 

اليقين لا يزول بالشك 

Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan(syak).

Ini kerana pada asalnya, sesuatu itu tidak bernajis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka kekal bersih dan suci. Oleh itu, jika tidak dapat dipastikan dan sekadar anggapan atau was-was maka ianya kekal bersih dan suci.

Sehubungan itu, merujuk kepada terasa seakan ada air yang keluar dari qubul tidak menjadikan ianya adalah najis. Ini berkemungkinan adalah dari saki baki air basuhan atau juga kemungkinannya air najis yang memang terkeluar. Ianya dapat diketahui dengan penelitian terhadap rasa dan bau air tersebut. Sekiranya yakin ianya sememangnya air kencing, maka ia perlu dibasuh dan dibersihkan. Jika yakin air tersebut adalah bernajis, maka kawasan lantai yang terkena air tersebut perlu dibersihkan dengan air mutlak. Jika ia hanya air dari basuhan sahaja, maka lantai tersebut tidak bernajis.  

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 28

message user image