Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Berkenaan taklik yang disediakan oleh JAIS yang dibaca selepas akad nikah -
"SAYA MENGAKU APABILA SAYA TINGGALKAN ISTERI ....... SELAMA EMPAT BULAN HIJRAH BERTURUT-TURUT ATAU LEBIH DENGAN SENGAJA ATAU PAKSAAN DAN SAYA ATAU WAKIL SAYA TIADA MEMBERI NAFKAH KEPADANYA SELAMA TEMPOH TERSEBUT PADAHAL IA TAATKAN SAYA ATAU SAYA MELAKUKAN MUDARAT KEPADA TUBUH BADAN NYA, KEMUDIAN IA MENGADU KEPADA SYARIAH DAN APABILA SABIT ADUANNYA DI SISI MAHKAMAH SYARIAH DAN IA MEMBERI KEPADA MAHKAMAH SYARIAH, YANG MENERIMA BAGI PIHAK SAYA SATU RINGGIT, MAKA PADA KETIKA ITU TERTALAQ IA DENGAN CARA TALAQ KHULU' "
Jika suami melanggar taklik dengan membuat mudarat kepada tubuh badan isteri (mencederakan secara fizikal), boleh kah isteri membuat permohonan tuntutan cerai taklik di mahkamah syariah? Dan bagaimanakah prosesnya?
Terima kasih.
Jawapan
Mejawab pertanyaan puan,
Sekiranya suami melanggar taklik tersebut maka isteri boleh membuat aduan di Mahkamah Syariah. Puan boleh membuat aduan di mana-mana Mahkamah Syariah yang berhampiran dengan tempat puan.
Secara umumnya langkah-langkah permohonan cerai taklik di mahkamah:
1. Permohonan Rasmi: Isteri perlu membuat permohonan secara rasmi di Mahkamah Syariah yang berhampiran dengan tempat tinggal atau bermastautin. Mahkamah telah menyediakan borang-borang yang berkaitan dan pemohon hendaklah mengisi borang tersebut dan memfailkan tuntutan rasmi itu di Mahkamah.
2. Perbicaraan: Perbincaraan akan dijalankan bagi memberi ruang kepada pihak-pihak itu membuktikan setiap dakwaan yang dinyatakan, sekiranya Mahkamah berpuashati dengan bukti dan dakwaan tersebut, barulah pihak Mahkamah boleh membuat keputusan sama ada taklik tersebut jatuh atau tidak.
Oleh yang demikian, memandang urusan ini melibatkan bidangkuasa Mahkamah Syariah, maka puan boleh untuk merujuk mana-mana Mahkamah Syariah yang berdekatan untuk mendapatkan info atau maklumat lebih lanjut dan detil.
Terima kasih.