BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ada beberapa perkara yang ingin ditanya.

1. Semasa saya solat, saya perasan ada sesuatu yang terlekat pada tapak kaki saya jatuh ke atas sejadah dan semasa saya rukuk saya curi2 pandang pada benda itu dan saya menyangka benda itu merupakan benang dari hujung sejadah. Apabila habis solat, saya dapati benda itu adalah bangkai ulat gonggok yang sudah kering. Jadi adakah sah solat saya sebab saya pijak dan duduk atas bangkai ulat gonggok itu semasa solat?

Kalau saya pijak bangkai ulat gonggok itu ketika kaki basah, adakah kaki saya bernajis dan berpindah pada sejadah sebab saya pijak dan duduk atas bangkai ulat itu semasa solat?

2. Saya sedang alami penyakit Was-Was yang teruk. Satu ketika, semasa saya baca al fatihah dalam solat, apabila sampai pada ayat iyyakana'budu wa iyyakanastai'n, saya terkena Was-Was sama ada ayat itu dibaca iyyakana'budu atau iyyakana'buduu (ada mad). Dan saya ambil keputusan untuk pilih iyyakana'buduu. Dan saya tak check balik ayat itu sama ada ia betul atau tidak selepas solat sehingga berlanjutan smpai 2 bulan(+-) barulah saya dapati yang saya baca salah dan bacaan iyyakana'budu (tanpa mad) adalah betul. Jadi bagaimana solat saya selama 2 bulan lepas, adakah dimaafkan atau saya kena qada?

3. Selama lebih kurang 20 tahun saya solat, saya tidak tahu pun atau saya lupa pernah diajar atau tidak yang bacaan rukun qauli seperti al fatihah dan tasyahud mesti muwalah. Jadi selama itu banyak kali saya baca dengan tidak berturut-turut (berhenti panjang). Jadi bagaimana keadaan solat saya selama ini? Adakah perlu saya qada solat saya yang sebelum ini? 

4. Apakah perlu saya qada solat saya yang lalu sekiranya solat itu dilakukan dalam keadaan saya jahil atau saya hanya faham setakat yang saya faham sahaja tentang beberapa perkara dalam solat?

5. Saya ada dengar ada ustaz mengatakan bahawa orang yang berpenyakit kencing tak lawas ini ada 2 jenis iaitu: 1. Kencing tak lawas secara terus menerus (tak berhenti). 2. Boleh berhenti, contohnya kencing itu berhenti menitik selepas 1 jam. Bagi orang yang dalam kategori kedua (2), bagaimana cara orang itu nak qada solat dia? Adakah dia perlu qada solat dia selepas dia tunggu hingga lepas 1 jam atau dia tak perlu tunggu?

6. Untuk penyakit Was-Was saya yang teruk ini apa yang perlu saya buat? Saya dah cuba untuk tidak melayan perasaan itu, tapi perasaan itu terus menerus menekan saya. Segala perkara dari soal taharah hingga soal ibadah, semua terjejas, sampaikn ada kala termasuk was2 dalam soal aqidah. Solat saya 30 minit hingga 1jam, saya duduk dalam boleh sampai 3-4 jam, puasa sikit2 rasa tak sah dan batal


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.

1. Secara asasnya, bangkai yang suci hanya hanya terdiri daripada dua jenis iaitu belalang dan ikan. Maka bangkai selain daripada jenis-jenis tersebut, ia dihukumkan najis serta tidak dimaafkan di dalam solat. Justeru itu, keadaan seseorang yang mengerjakan solat kemudian terpijak bangkai ulat gonggok adalah tidak sah dan terbatal kerana dikira menanggung najis. Dalam hal ini, solat tersebut perlu diulangi semula. Sayyid Abdul Rahman al-Ba'lawi di dalam Bughyatul Mustarsyidin berkata:

ﻋﻔﻲ ﻋﻨﻪ ﻓﻲ ﺍﻟﻤﺎﺀ ﺩﻭﻥ ﺍﻟﺜﻮﺏ ﻭﻫﻮ ﺍﻟﻤﻴﺘﺔ ﺍﻟﺘﻲ ﻻ ﺩﻡ ﻟﻬﺎ ﺳﺎﺋﻞ ﺣﺘﻰ ﻟﻮ ﺣﻤﻠﻬﺎ ﻓﻲ ﺍﻟﺼﻼﺓ ﺑﻄﻠﺖ

Maksudnya: Najis yang dimaafkan pada air sahaja tetapi tidak dimaafkan pada pakaian iaitu bangkai binatang yang tidak mengalir darah, malah jika dibawanya ke dalam solat maka batal solatnya.

2. Berdasarkan situasi yang diterangkan, tersilap sebutan tajwid dan makhraj ketika solat tidaklah berdosa serta tidak perlu diqadha solatnya. Cuma yang perlu dilakukan adalah menuntut ilmu fardu ain sehingga selesai serta memahirkan bacaan al-Quran mahupun tajwid. 

3. Bacaan rukun qawli seperti al-fatihah dan tasyahud disyaratkan muwalat (berkesinambungan) antara satu ayat dengan ayat yang lain. Namun begitu, jika seseorang tidak mengetahui akan hukum ini, maka dia termasuk dalam kategori jahil hukum yang tidak disengajakan serta tidak perlu mengqadhakan solatnya.

4. Bagi situasi solat yang dilakukan dalam keadaan jahil, maka syarak memaafkan perbuatan sebut. Namun begitu, perlu ditegaskan bahawa menjadi kewajipan ke atas tuan untuk mempelajari ilmu fardu ain secara mendalam. Hal ini kerana mempelajari ilmu fardhu ain adalah untuk tujuan memperbaiki ibadah, mendekatkan diri dengan Allah, serta menjadikan diri seseorang yakin dalam urusan ibadahnya.

5. Bagi permasalahan kencing tidak lawas jenis kedua iaitu apabila air kencing hanya keluar dalam tempoh tertentu dan akan berhenti selepas beberapa ketika (seperti selepas satu jam), maka kaedah mengqada solat adalah sama seperti menunaikan solat fardu pada waktunya. Oleh itu, menjadi tanggungjawab tuan untuk menunggu sehingga najis tersebut benar-benar berhenti sebelum menunaikan solat. Setelah itu, tuan hendaklah membersihkan diri, mengambil wuduk, dan menunaikan solat seperti biasa tanpa mengambil hukum rukhsah bagi orang yang beruzur.

6. Bagi individu yang mengalami masalah was-was dalam ibadah perlu mencari penyelesaian berdasarkan panduan yang telah digariskan oleh para ulama', antaranya:

  1. Mengambil sikap tidak peduli, iaitu dengan membiarkan dan melawan perasaan was-was tersebut.
  2. Bersabar dan terus mencuba menghilangkan was-was. Mereka yang ditimpa penyakit was-was ini sebenarnya sedang diuji, iaitu ujian menentang syaitan.
  3. Mempelajari tatacara ibadah yang sahih. Dengan mempelajari ibadah yang sempurna dapat membantu menghindari penyakit was-was ini.
  4. Sentiasa memohon perlindungan Allah SWT. Ini kerana bisikan syaitan sentiasa menyebabkan perasaan was-was kepada manusia.
  5. Meletakkan keyakinan yang tinggi dalam setiap ibadah yang dilaksanakan.

Perasaan tidak yakin atas sesuatu itu merupakan penyakit was-was pada diri tuan yang perlu dielakkan dan dijauhi bagi menggelakkan permasalahan yang lebih berat kepada diri tuan pada masa akan datang. Para ulama’ amat mengambil berat mengenai penyakit ini kerana jika dibiarkan berlarutan boleh menjadi sesuatu yang lebih kronik kerana ianya penyakit yang berkaitan dengan jantung hati. Orang yang selalu merasa was-was dalam ibadah sehingga melakukannya berulang-ulang kali, atau melayan perasaannya yang sentiasa merasa bebanan was-was hendaklah bertanyakan dirinya sendiri; untuk apa ia lakukan itu semua? Jika ia untuk Allah SWT, maka hendaklah dia tahu bahawa Allah SWT tidak meredhai tindakannya melayan gangguan perasaan atau syaitan yang seperti itu. Layanan kepada perasaan was-was itu hanya mentaati syaitan atau ganggu emosi yang salah, bukan mentaati Allah SWT. Untuk itu, perbanyakkanlah istighfar kepada Allah SWT, mudah-mudahan penyakit ini akan beransur pulih dengan izin-Nya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 26

message user image