BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum saya ada beberapa soalan hendak ditanya...

 

1: Saya baru mengetahui wujud pinggan yang mengandungi "bone china" dan saya membaca ciri-cirinya seperti telus cahaya dan sebagainya.Saya cuba lihat di pinggan saya dan mendapati telus cahaya seperti pinggan yang mengandungi bone china...Tetapi di pinggan saya tiada tulis yang ianya bone china , hanya ditulis porcelain dan ada sebahagian pinggan tiada tulis apa-apa dan hanya ada jenama...macam mana dengan pinggan itu? Adakah pinggan itu tetap suci kerana tiada tulis "bone china" hanya ada ciri-cirinya sahaja.

 

Adakah saya juga perlu sertu dan membuang pinggan tersebut kerana saya was was takut ada "bone china" di pinggan saya hanya kerana ciri-cirinya sama... Pinggan tersebut tidak menyatakan "bone china" hanya ada tulis porcelain...ada juga tulis jenama sahaja dan ada juga yang sememangnya kosong tidak tulis apa-apa.

 

Jika perlu sertu... bagaimana dengan barang yang saya sentuh selama ni menggunakan tangan basah dan barang juga ada basah dan kering.Adakah perlu disertu juga?Semua barang dalam rumah saya sudah saya sentuh.

 

 

 

2.Pada tahun 2020/2021 saya tidak ingat yang jelas tahun yang tepat.Saya menggosok duit syiling berkarat pada tanah basah yang ada kesan tapak kaki babi dan tanah itu juga kena pada tangan saya dan saya ada duduk tapi tidak ingat pakaian mana yang saya pakai kerana berlaku beberapa tahun yang lepas.Pada waktu itu saya tidak tahu yang tangan perlu disertu,saya hanya membasuh tangan seperti biasa.Sehinggalah di tahun 2025(sekarang) baru saya mengetahui yang tangan perlu disertu jika sentuh tanah basah bekas tapak kaki babi.Jadi bagaimanakah dengan barang yang saya sentuh selama ini sama ada dengan tangan basah dan barang juga basah.Kerana saya ada baca yang najis hukmiyah perbindah mengikut mazhab Syafie.Adakah tangan saya yang belum disertu ketika itu sehingga gini dianggap ada najis hukmiyah?

Adakah saya perlu sertu tangan saya sakarang walaupun kejadian itu sudah berlaku berapa tahun yang lepas (2020/2021 tak ingat dengan tepat) dan semua barang yang saya sentuh selama ini?Semua barang dalam rumah saya sentuh dan saya juga pergi bercuti ke rumah adik beradik yang lain.Bagaimana dengan ibadat saya selama ini? Adakah sah?

 

 

3: Duit syiling yang digosok ditanah basah bekas tapak kaki babi juga sudah ada setengah yang digunakan dan setengah lagi belum...Hari itu saya menyentuh duit syiling yang masih berbaki yang digosok di tanah basah bekas tapak kaki babi berapa tahun yang lepas.Saya sentuh sewaktu belum mengetahui yang tangan perlu disertu.Selepas saya teringat kejadian itu dan mengetahui tangan perlu disertu  (2025) saya  teringat yang saya ada sentuh duit syiling itu, saya tidak pasti ketika itu tangan saya basah atau kering...adakah saya perlu sertu tangan saya?Dan macam mana duit syiling yang sudah saya gunakan ketika belum mengetahui yang ianya wajib disertu?Adakah duit syiling yang masih berbaki itu juga wajib disertu sekarang?

 

 

4:Saya ada membeli keledek secara online dan saya menjadi was was takut ada menggunakan baja najis babi...Saya terus tanya seller itu dan dia mengatakan tidak...Adakah Keledek itu suci dimakan dan tidak perlu disertu? Sewaktu keledek itu sampai hanya ada bau tanah dan tanah.

 

5:Saya membeli jem jenas waktu itu dan hanya ada logo halal Thailand sahaja tanpa ada no siri dibawahnya kerana dia produk yang dibungkus/imported dari kedai yang ada sijil halal pada jem nenas...tapi saya lihat jem nenas yang dijualnya bukan satu jenis sahaja...Saya rasa was was dan cari bukti lain yang menunjukkan produk yang sama dan dari kilang sama tapi dijual di kedai lain dan dibungkus/imported jga di kedai itu bukan kedai saya beli...di kedai itu ada logo halal Thailand beserta no siri cicot yang tidak ada pada kedai saya beli...Saya jadi was was dan berfikir macam mana kalau itu adalah no Cicot Thailand yg palsu kerana di kedai yang saya beli tidak ada no itu hanya ada logo sahaja.Saya juga telah membaca bahan dan ianya tidak mengandungi babi... bahan-bahannya ialah nanas,gula, citrid acid,garam, sodium benzoate (E211), potassium sorbate(E202,colour tartrazine(E102)...yang kedai ada logo dan no cicot hanya tulis gula putih dan nenas.

 

 

Maaf kerana banyak bertanya...saya mengalami was was yang melampau sehinga mengganggu kehidupan seharian saya.

Terima Kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Soalan 1.

Bone china ialah sejenis porselin halus yang diperbuat daripada campuran:tanah liat halus, bahan mineral dan abu tulang haiwan yang telah diproses. Dalam sesetangah produk bone china kajian kandungan abu tulang adalah pada 30%-50% berbanding bahan-bahan lain. 

Jika ia hanya bertulis porcelain atau fine china, kemungkinan besar ia bukan bone china. Bone china biasanya akan dilabel secara jelas kerana ia dianggap barang yang mahal. 

Seandainya tidak dapat dipastikan bahawa pinggan tersebut adalah bone china, maka pinggan tersebut dianggap sebagai suci. Ini adalah kerana asal sesuatu perkara adalah suci. Di samping itu,kaedah Fiqah menyatakan bahawa: 

اليَقِين لَا يُزَالُ بِالشَّكّ

Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihilangkan atau dihapuskan dengan sebab keraguan (syak).

Soalan Dua.

Bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu kawasan itu terkena najis melalui ain, bau, warna atau rasa. Penyucian ke atas tempat-tempat yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila najisnya jelas kelihatan seperti tahi, air kencing dan selainnya sehingga hilang bau, warna dan rasa. Merujuk kepada persoalan puan:

Bagi permasalahan sentuhan tangan serta duit syiling dengan tanah basah bekas tapak kaki babi yang berlaku pada sekitar tahun 2020 atau 2021, jika diyakini tanah  tersebut  ada najis babi dan terkena tangan yang basah, maka wajib disertu tangan tersebut secara serta merta. Jika sekadar tandaian tapak kaki babi sahaja, maka tidak perlu sertu cukup hanya dibersihkan sahaja dengan air mutlak tangan tersebut  Apa yang pasti kejadian tersebut telah berlaku sejak sekian lama dan tidak diyakini dengan tepat keadaan pakaian, tangan basah atau kering dan sudah terlalu lama maka hukumnya adalah dimaafkan oleh syarak  dan tidak perlu disertu mana-mana barang yang disentuh oleh tangan.

Begitu juga dengan Ibadat-ibadat terdahulu, maka ianya sah, kerana anda tidak tahu hukum ketika itu (orang yang jahil tidak berdosa, tetapi diberi ruang untuk belajar).

Soalan Tiga

Duit Syiling digosok pada tanah yang ada kesan tapak kaki babi:

  • Tidak perlu sertu tangan dan juga duit syiling tersebut kerana ianya tidak bernajis. Manakala duit syiling yang berbaki juga tidak perlu disertu.

  • Duit yang digunakan dulu tidak perlu difikirkan kembali. Islam tidak membebankan atas perkara lampau yang tidak diketahui.

Soalan Empat

Jika kita menghukumkan sesuatu seperti keledek dan baja adalah bernajis sekadar andaian atau was-was, maka ia kembali kepada kaedah fiqh yang menyatakan: 

اليقين لا يزول بالشك 

Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan(syak).

Jika sekadar ragu-ragu atau samar-samar tanpa bukti yang kukuh, maka abaikan sahaja perasaan tersebut. Malah pihak penjual  pun telah memaklumkan tidak menggunakan baja daripada najis babi. Oleh itu, keledek tersebut adalah kekal suci dan boleh dimasak serta dimakan juga tidak perlu disertu. 

Soalan kelima

Jem nanas dan logo halal Thailand:

Seperti yang telah diketahui umum, bahawa logo Halal biasanya dikeluarkan oleh lembaga atau badan sertifikasi Halal yang diiktiraf setelah melakukan pemeriksaan dan verifikasi bahawa produk tersebut memenuhi kriteria Halal.Ini merangkumi bahan-bahan yang digunakan, proses pengeluaran, penyimpanan, dan pengagihan. Beberapa badan atau lembaga sertifikasi Halal telah wujud di serata dunia yang diiktiraf oleh  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Thailand merupakan salah satu pengeluar utama makanan halal, terutamanya produk-produk untuk dieksport. Negara ini juga mempunyai badan Persijilan Halal yang menjalankan penyelidikan dan pembangunan produk halal, dan telah diiktiraf oleh JAKIM.

Untuk itu,  bagi produk yang telah dipersijilkan Halal oleh badan berautoriti Thailand dan selagi tiada bukti kukuh penyelewengannya atau tiada bukti kukuh kenajisanya, maka produk tersebut adalah halal dimakan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 33

message user image