Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt, saya ingin bertanya bolehkah saya menggabungkan doa اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ dan juga اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْكَفَرِ، وَالْفَقْرِ، وَعَذَابِ الْقَبْرِ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ selepas bacaan tahiyat akhir atau seeloknya hanya dibaca secara selang seli di setiap solat fardhu yang berbeza. Terima kasih...
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Secara asasnya doa-doa yang dinyatakan adalah sahih daripada Rasulullah SAW sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidatina Aisyah RA:
Maksudnya: Adapun Rasulullah SAW berdoa di dalam solatnya (selesai membaca tasyahhud akhir): Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada seksaan kubur, aku berlindung dengan -Mu daripada daripada fitnah al-masih al-Dajjal, aku berlindung dengan-Mu daripada fitnah kehidupan dan kematian, serta aku berlindung dengan-Mu daripada perbuatan dosa dan hutang. (Riwayat al-Bukhari)
Berdasarkan hadis ini, kita dianjurkan berdoa memohon perlindungan Allah SWT daripada azab kubur, fitnah dajjal, fitnah kehidupan serta perbuatan dosa dan hutang. Pengamalan doa ini sebaiknya dikerjakan selepas daripada membaca tahiyat dan sebelum memberikan salam.
Adapun doa اللهُمَّ إني أعوذُ بِكَ من الكُفر والفَقرِ pula, ia dinyatakan dalam hadis lain sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abd Rahman bin Abi Bakrah RA bahawa Abbas berkata:
Maksudnya:Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kekufuran dan kefakiran. Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada azab kubur. Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau. Baginda mengulanginya tiga kali pada waktu pagi dan tiga kali pada waktu petang, dan berdoa dengannya. Maka aku suka untuk mengikuti sunnahnya. (Riwayat Abu Daud)
Menurut Imam Ibn Hajar al-Haythami di dalam Tuhfah al-Muhtaj, ia juga termasuk dalam lafaz doa yang dianjurkan selepas menunaikan ibadah solat.
Oleh itu, tidak menjadi permasalahan jika tuan ingin menggabungkan sesuatu doa dengan doa yang lain kerana ia termasuk dalam doa-doa yang boleh diamalkan dan boleh dibaca ketika di dalam solat.
Sekian, terima kasih.