BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.
Baru-baru ini, saya gaduh besar dengan ibu bapa saya sehingga bapa saya memutuskan hubungan anak-ibubapa kami. Menurut kata-katanya, saya diharamkan daripada menziarahi kubur mereka sekiranya saya tidak mendapat kemaafan mereka dan saya juga diharamkan daripada mengguna nama bapa saya atas hal rasmi dan tidak rasmi. Susulan ini, saya mempunyai dua persoalan yang penting. 


1. Mengenai zakat

Susulan putus pertalian ini, saya tidak pasti sama ada ia juga bermaksud bapa saya tidak lagi akan bayar zakat atas pihak saya dan saya ingin tahu hukum saya membayar zakat untuk diri sendiri. Saya merupakan seorang pelajar universiti yang kini menjalankan latihan praktikal industri dan mempunyai pendapatan sendiri. Ikutkan pengetahuan saya, selalunya bapa bertanggungjawab menunaikan zakat bagi pihak keluarganya - terutamanya anak perempuan yang tidak berkahwin. 

2. Mengenai syarat sah kahwin - wali
Saya mempunyai hasrat untuk berkahwin pada tahun yang akan datang. Tapi disebabkan hal ini, saya tidak lagi rasa selamat di sisi ibu bapa saya atas kata-kata kesat mereka dan mengikut surat bapa saya, ia mengimplikasikan bahawa beliau enggan menjadi wali (kerana perkataan beliau yang menyatakan bahawa saya diharamkan menggunakan namanya atas apa-apa urusan). Adakah saya memenuhi syarat untuk meminta pertukaran wali kepada abang saya? Ataupun saya perlu mencari wali hakim kerana bapa saya masih lagi hidup?

Saya berharap sangat soalan saya mendapat pencerahan dan saya mengucapkan terima kasih terlebih dahulu atas kesudiaan membaca dan membalas persoalan saya ini. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.

1. Zakat fitrah wajib ke atas seseorang yang memenuhi syaratnya. Seseorang yang wajib memberi nafkah kepada tanggungannya, dia juga wajib membayar zakat fitrah bagi orang yang ditanggungnya. Sebagai contoh, seorang bapa wajib mengeluarkan zakat fitrah bagi anaknya yang belum baligh dan masih belum mampu untuk bekerja kerana dia wajib memberikan nafkah kepada anaknya itu.

Berbeza pula keadaannya jika anak sudah baligh dan mampu untuk bekerja serta berpendapatan, maka ketika itu kewajipan nafkah sudah gugur dari bapanya. Oleh itu, bapanya tidak lagi wajib membayar zakat fitrah bagi pihaknya bahkan anak tersebut perlu melunaskan bayaran zakat secara sendiri.

Kayu ukur mampu bekerja bagi anak yang telah baligh juga turut dihuraikan oleh Imam Abu Bakar al-Dumyati di dalam I’ānah al-Ṭālibīn ‘Alā Ḥal Alfāz Fatḥ al-Mu’īn:

قوله: قادر على كسب أي أو عنده مال

 ولو قال غني – كالذي قبله – لكان أولى

Maksudnya: Kata-katanya: Mampu untuk berusaha (bekerja) bermaksud dia mempunyai harta, jika menggunakan lafaz ‘kaya’ - sebagaimana yang disebutkan sebelum ini- nescaya ia lebih baik.

2. Wali adalah merupakan salah satu daripada rukun-rukun nikah yang wajib ada bagi memastikan pernikahan itu sah pada hukum syara. Wali juga merupakan orang yang mempunyai hak untuk mengahwinkan anak perempuan di bawah jagaannya dengan syarat-syarat tertentu. Ia adalah atas dasar tanggungjawab bagi ahli keluarganya dan juga hak keistimewaan seorang bapa dalam melaksanakan perkahwinan anaknya sepertimana yang telah dipersetujui oleh majoriti ulama.  

Sekiranya wali itu enggan, pihak perempuan boleh :

  • Membuat aduan di Pejabat Agama Islam Daerah tempat tinggalnya untuk dilaksanakan sesi rundingcara berkaitan keengganan wali ini. Pegawai di Pejabat Agama Islam Daerah boleh untuk memanggil wali untuk proses tersebut sekiranya perlu dan sesuai.
  • Memfailkan kes ini ke mana-mana Mahkamah Syariah yang berhampiran tempat tinggalnya untuk memohon menggunakan wali hakim.

Dalam masa yang sama, banyakkanlah berdoa kepada Allah SWT, bermunajat, serta solat sunat hajat dengan penuh ikhlas dan pengharapan, agar Allah SWT melembutkan hati wali untuk bersetuju dan rela untuk mewalikan bagi pernikahan saudari. Di samping itu juga, tidak menjadi kesalahan bagi seseorang anak bertolak ansur dan memohon kemaafan terlebih dahulu kepada ibu bapa sekalipun mereka melakukan kesilapan, hakikatnya mereka adalah anugerah yang telah dikirimkan Allah SWT kepada kita yang perlu kita hargai, santuni dan dipelihara dengan sebaiknya. Setiap permasalahan pasti ada solusinya, bahkan pergaduhan yang berpanjangan tidak mendatangkan apa-apa manfaat sebaliknya mengundang kemudaratan yang sepatutnya tidak perlu diperselisihkan. Oleh itu, ambillah langkah bermaafan sebagai satu usaha yang diredhai oleh Allah SWT.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 49

message user image