BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum tuan/puan. Saya ingin bertanya tentang pernikahan ibu saya. Ibu saya merupakan anak angkat dan bernikah dengan ayah saya sekitar tahun 1990. Ibu saya berbinti kan ayah angkat, bukan ayah kandung. Kalau ikut yang saya baca di web mufti, anak angkat dilarang berbinti kan ayah angkat. Tapi apabila saya tanya pada ibu saya, dia kata orang dulu2 belum tahu tentang hal ini dan tiada sesiapa yang tegur atau tahu tentang itu. Jadi persoalannya, adakah pernikahan ayah dan ibu saya itu sah? Saya sangat risau sebab hal-hal berkaitan keturunan ni sangat penting dan perlu ambil serius. Sekiranya pernikahan itu tidak sah, maka bagaimana dengan status kami adik beradik? Anak luar nikah atau bagaimana? Mohon penjelasannya. Terima kasih


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan saudari, pernikahan ibu itu sah jika wali yang menikahkan pernikahan tersebut ialah ayah kandung yang sebenar atau wali yang sepatutnya. Hukum pernikahan ini berbeza dengan hukum berbin dan berbintikan ayah angkat yang jelas larangannya di dalam al-Quran sebagaimana firman Allah: وَمَا جَعَلَ أَدْعِيَاءَكُمْ أَبْنَاءَكُمْ ۚ ذَٰلِكُمْ قَوْلُكُمْ بِأَفْوَاهِكُمْ ۖ وَاللَّهُ يَقُولُ الْحَقَّ وَهُوَ يَهْدِي السَّبِيلَ ادْعُوهُمْ لِآبَائِهِمْ هُوَ أَقْسَطُ عِنْدَ اللَّهِ ۚ فَإِنْ لَمْ تَعْلَمُوا آبَاءَهُمْ فَإِخْوَانُكُمْ فِي الدِّينِ وَمَوَالِيكُمْ ۚ وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُمْ بِهِ وَلَٰكِنْ مَا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ ۚ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا Maksudnya : “Dan Ia juga tidak menjadikan anak-anak angkat kamu, sebagai anak kamu sendiri. Segala yang kamu dakwakan mengenai perkara-perkara) yang tersebut itu hanyalah perkataan kamu dengan mulut kamu sahaja. Dan (ingatlah) Allah menerangkan yang benar dan Dia lah jua yang memimpin ke jalan yang betul. Panggilah anak-anak angkat itu dengan ber"bin"kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggilah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seagama dan sebagai "maula-maula" kamu. Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (al-Ahzab : 4 – 5) Pernikahan itu sah apabila menepati rukun-rukun dan syarat-syaratnya. Mohon dipastikan siapakah wali pernikahan tersebut. Jika terdapat keraguan, boleh berhubung terus ke Pejabat Agama Islam Daerah dimana pernikahan itu didaftarkan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 377

message user image