BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Saya ingin bertanya mengenai bayaran fidyah puasa.

Saya seorang pelajar berumur 24 tahun dan masih belum mempunyai pendapatan tetap. Saya ingin membayar fidyah puasa yang tertinggal ketika berumur 13 hingga 23 tahun, dianggarkan sebanyak 15 hari setahun.

Berikut beberapa soalan saya:

  1. Adakah saya perlu membayar fidyah secara berganda memandangkan puasa ini telah ditinggalkan beberapa tahun lalu, walaupun saya masih belum mempunyai pendapatan hakiki?

  2. Jika perlu bayar secara berganda, bolehkah saya membayar secara ansuran mengikut tahun? Contohnya, saya bayar dahulu untuk tahun 2014 hingga 2017 dengan jumlah tertentu, kemudian sambung tahun berikutnya apabila mampu, sehingga selesai kesemuanya?

  3. Selepas saya membayar fidyah, adakah saya wajib menggantikan (qada') puasa bagi hari-hari yang telah saya bayar fidyah itu pada tahun yang sama ? jika tak sempat habis tahun tersebut perlu ke saya bayar fidyah semula tahun depannya? contoh total ganti puasa adalah 150 hari , tapi tahun ini saya sempat qada 30 hari sahaja, adakah saya perlu bayar semula fidyah untuk 120 hari yang saya tak sempat habiskan tahun ini setelah dah bayar fidyah?

Sekian, terima kasih atas maklum balas pihak tuan/puan.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.

1. Berdasarkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (FATWA) Negeri Selangor Bil. 1/2001 pada 16 Januari 2001, memutuskan bahawa fidyah boleh dibayar dengan dua cara:

i. Gandakan fidyah dan kafarah mengikut tahun.

ii. Tidak digandakan kadar pembayaran fidyah dan kafarah.

Ini bermakna umat Islam boleh memilih cara yang bersesuaian mengikut keupayaan masing-masing, berganda atau tidak berganda.

2. Seseorang dibenarkan untuk membayar fidyah secara ansuran berdasarkan kepada kemampuan.

3. Seseorang yang meninggalkan puasa meskipun telah menjelaskan fidyahnya, maka diwajibkan ke atasnya untuk mengqadha puasa yang ditinggalkan kerana fidyah tidak mengangkat kewajipan untuk menqadha puasa. Oleh itu seseorang yang telah melunaskan bayaran fidyah boleh berpegang kepada pandangan yang tidak mensyaratkan gandaan bayaran sebagaimana fatwa di atas. Namun begitu, qadha bagi puasa-puasa yang masih belum diganti tetap perlu diselesaikan dengan sebaiknya. Sehubungan dengan itu, dinasihatkan agar puan merancang penjadualan qadha puasa dengan sebaiknya kerana ia melibatkan hutang kepada Allah SWT yang wajib dilunaskan. Semoga Allah SWT permudahkan urusan puan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 46

message user image