Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum dan salam sejahtera, saya Abdullah dan saya ingin bertanya, ada kawasan seorang hamba Allah terjatuh makanan tetapi dia biarkan terlebih dahulu tidak kasi bersih sebab ada kerja sikit. Tak lama kemudian, ada seekor anjing pergi makan makanan yang jatuh itu dan dia pun segera sertu kawasan itu. Cuma waktu sertu air basuhan sertu itu bertakung dan merebak ke kawasan lain semasa sertu sebab dia siram sekali dengan air tanah dan 7 kali air bersih dahulu sebelum dia sapu air basuhan tu.
Soalannya, apakah kawasan itu bersih atau tidak? Sebab saya ada baca bahawa air basuhan tu tidak boleh bertambah kuantiti atau bertambah berat.
Mohon pencerahan. Syukran.
Jawapan
Berdasarkan soalan, dapat disimpulkan bahawa air basuhan yang bertakung merangkumi 1 kali air bercampur tanah dan 7 kali air mutlaq. Oleh itu, air takungan dari air basuhan tersebut bertakung dan menjadi air suci dan menyucikan dan apabila merebak ia menjadi air musta’mal (air yang suci tetapi tidak menyucikan) sekiranya air basuhan yang merebak itu dalam kedaan tidak berubah sifat air dari bau, warna dan rasanya kerana najis.
Hal ini banyak disebut di dalam kitab-kitab fiqh Shafi’ie:
Maksudnya: “Kesimpulannya jika air mendatangi pada tempat bernajis dan ia belum terpisah darinya maka hukum air itu suci dan menyucikan. Jika air terpisah darinya dan tidak berubah sifatnya (bau, warna atau rasa) dan ia tidak bertambah beratnya selepas menghilangkan najis dari tempatnya dan tempat itu menjadi suci, maka air itu kekal suci tetapi tidak menyucikan”.
(Rujuk I’anah al-Tolibin, 1/43)
Maka kawasan yang terkena air basuhan tersebut adalah bersih.
Manakala, maksud dari ‘air basuhan itu tidak boleh bertambah kuantiti atau bertambah berat’ ialah air basuhan yang suci dan tidak berubah beratnya kerana tidak diberatkan dengan najis.
Sekian, terima kasih.