BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya merupakan seseorang yang mempunyai penyakit waswas tahap teruk. Saya tinggal bersama non muslim ketika overseas disebabkan perumahan yg lebih murah. Namun begitu, disebabkan terdapat tandas dan juga laundry di dapur, saya sangat waswas terhadap percikan minyak masakkan daging tidak halal oleh rakan non muslim pada lantai dapur setelah dia masak. Ia tidak kelihatan, tetapi dipijak dengan selipar basah dan merebak ke seluruh rumah dan laluan ke tandas untuk mengambil wuduk di tingkat berlainan di mana saya tidak memakai selipar. Hal ini menyebabkan saya sering berasa tidak sedap hati dan sakit hati terhadap housemate dan diri sendiri kerana sering dihantui waswas. Hal ini berterusan di mana saya takut memegang kawasan sekeliling tempat masak, peralatan masak dan juga lantai.

Oleh itu, apakah hukum lantai yang dipijak selipar. Adakah ia menyebabkan najis merebak ke persekitaran di mana setiap kali saya berwuduk di tandas tingkat lain dan berjalan tanpa selipar, saya bernajis? Terima lasih atas bantuan.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Najis hukmiyyah ialah najis yang diyakini ada di suatu kawasan tetapi tidak terdapat ‘ain najis seperti bau, warna dan rasa. Hal ini termasuk juga najis mughallazah yang telah hilang ain najis. Cara menghilangkan najis hukmiyyah tersebut adalah dengan dialirkan air mutlak ke kawasan najis hukmiyyah manakala apabila bersentuhan dengan sesuatu dalam keadaan basah atau kering, najis hukmiyyah tidak berpindah kerana tidak terdapat ‘ain najis padanya. Seterusnya, air basuhan najis hukmiyyah menjadi air musta’mal iaitu hukumnya suci tetapi tidak menyucikan.

(Rujuk Tuhfah al-Muhtaj 1/317, Mughni al-Muhtaj 1/242, Asna Matalib 1/19 dan 1/22)

Berdasarkan soalan, hukum lantai yang dipijak selipar ialah najis hukmiyyah dan tidak menyebabkan najis merebak ke persekitaran apabila dipijak oleh selipar.

Sekiranya masih ragu-ragu sama ada terdapat najis atau tidak di sesuatu tempat maka boleh mengambil hukum asal iaitu asal sesuatu tempat itu suci melainkan dengan jelas terdapat ain najis yang dapat dilihat warnanya atau dapat dihidu baunya atau dapat dirasai.

Berdasarkan kaedah Fiqh yang berbunyi:

الْأَصْلُ بَقَاءُ مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ

Bermaksud: Pada asasnya, (hukum) sesuatu itu kekal mengikut keadaan (hukum) asalnya.

Hukum asal sesuatu itu adalah suci, maka ia akan terus kekal suci. Manakala najis itu sifat atau keadaan yang mendatang, maka ia perlu dibuktikan dengan keyakinan, dan bukan ragu-ragu. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 27

message user image