Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ingin bertanya beberapa soalan berkaitan najis:
1. Jika terdapat darah yang dimaafkan pada pakaian, kemudian pakaian tersebut direndam dalam air (dalam baldi)(bersama najis yang dimaafkan itu), adakah air rendaman itu dikira najis, atau masih kekal suci memandangkan darah tersebut adalah najis yang dimaafkan?
2. Jika bayi muntah, adakah wajib membersihkan mulutnya (bawah 3 tahun)? Jika tidak dibersihkan, apakah status air liur bayi tersebut? Adakah ia dikira najis?
3. Bagaimana pula dengan air luka yang jernih akibat ekzema – adakah ia dikira najis?
Terima kasih atas pencerahan.
Wassalam.
Jawapan
1. Air rendaman baju yang terkena najis yang dimaafkan seperti darah nyamuk yang sedikit tidak menjadikan air rendaman tersebut bernajis. Kerana asal sesuatu adalah suci sehingga diyakini terdapat najis yang mengubah air tersebut dari segi bau, warna dan rasa. Hal ini berdasarkan pandangan berikut:
Kaedah fiqh mengatakan bahawa:
Maksudnya: Hukum asal setiap sesuatu itu adalah suci.
Menurut Imam Nawawi, apabila seseorang itu membunuh nyamuk dan kutu dan darahnya terkena pada pakaian atau melekat pada celah-celah jari, hukumnya adalah najis jika ia dalam jumlah yang banyak. Adapun jika sedikit, maka ia khilaf dalam kalangan ulama’, dan pendapat yang paling sahih ialah ianya dimaafkan.
(Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 3/135).
Menurut Imam Khatib Syarbini, antara contoh darah yang dimaafkan dan termasuk di bawah kategori ‘umum al-balwa yang sukar disucikan pula ialah seperti darah nyamuk, lalat, kutu dan lain-lain darah yang tidak mampu dilihat oleh mata.
(Rujuk Al-Iqna’ fi Halli Alfaz Abi Syuja’, 1/90)
Kayu ukur untuk menentukan najis itu sedikit atau banyak pula tidak disebut secara jelas dalam kitab-kitab, dan ia ditentukan oleh ‘uruf kebiasaan.
2. Di dalam mazhab al-Syafie, muntah dihukumkan sebagai najis mutawassitah (pertengahan). Maka wajib menghilangkannya dengan basuhan air mutlak.
Maksudnya: Dan jika seseorang lelaki muntah, maka hendaklah dibasuh mulutnya dan kawasan yang terkena muntah tersebut, tidak memadai jika tidak dibuat seperti itu.
(Rujuk al-Umm, 1/32)
Pengecualian diberikan dalam kes-kes apabila keadaan sukar dijaga, maka hukumnya adalah dimaafkan. Ulama Syafi'iyyah berpendapat jika seseorang yang ditimpa kesukaran dengan kerapnya muntah, maka dimaafkan muntah pada baju dan badan. Yang dimaksudkan sebagai ditimpa kesukaran itu ialah keadaan yang kerap. Hal yang sama juga dikiaskan tentang mulut bayi yang muntah kemudian menyusu ibunya, maka muntah yang berbaki dalam mulut itu tidak menajiskan tubuh ibunya.
Rujuk al-Mausu`ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyyah (34/86), al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie (1/49)
3. Eczema merupakan gelembung air (lepuh) pada tangan atau kaki tersebut bukan lah najis, ianya hanya kekotoran yang perlu dicuci seperti biasa sahaja. Namun, sekiranya gelembung air itu bercampur dengan darah yang menjadi nanah ia dikira najis mutawassitah (متوسطة) iaitu juga tidak suci.
Sekian, terima kasih.