Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum dan Salam Sejahtera.
Tuan/Puan,
Saya ingin mendapatkan
penjelasan berhubung kedudukan nafkah saya terhadap keluarga. Tahun ini, saya telah berumur 55 tahun. Saya tidak bekerja hampir beberapa tahun setelah berhenti dari pekerjaan lama kerana disyaki mengalami gangguan sihir. Sejak itu, saya berusaha mencari pekerjaan namun tidak kekal. Buat masa ini, saya masih lagi berusaha mencari pekerjaan, tetapi agak sukar disebabkan faktor umur.
Tahun ini juga saya sudah layak mengeluarkan wang simpanan KWSP saya. Persoalan saya ialah:
Bagaimana dengan bayaran tunggakan nafkah keluarga saya sepanjang tempoh saya tidak bekerja? Adakah saya perlu membayarnya secara penuh atau sebahagian atau bagaimana, memandangkan keadaan saya yang masih tidak bekerja dan hanya mempunyai wang KWSP sebagai sumber pendapatan, yang sepatutnya juga digunakan untuk hari tua saya? (Sebagai contoh, semasa saya masih bekerja dahulu, saya membayar hampir RM2,500 sebulan untuk nafkah keluarga).
Berapakah jumlah nafkah yang wajar atau patut saya berikan kepada keluarga saya pada masa sekarang, mengambil kira keadaan kewangan saya yang masih belum stabil?
Sekian, terima kasih atas perhatian dan penjelasan yang diberikan.
Wassalam.
جَزَاكَ ٱللَّٰهُ خَيْرًا
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara,
1. Nafkah yang menjadi tanggungajawab suami menyediakannya adalah berdasarkan kepada kemampuan kewangan suami. Firman Allah SWT dalam surah at-Talaq ayat 7:
Maksudnya: "Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan."
Mengambilkira keadaan suami tidak bekerja beberapa tahun dahulu, namun suami sedar akan tanggungjawabnya, maka ikutlah kemampuan suami. Kalau mampu beri RM100, maka RM100 itulah nafkah dari suami. Justeru tidaklah suami berhutang/ nafkah tertunggak semasa beliau tiada kerja/pendapatan. Jika kemampuan kewangan suami banyak, maka banyaklah nafkah yang suami boleh tanggung, jika sedikit kemampuan kewangannya, maka sedikitlah yang suami mampu tanggung.
2. Pada masa sekarang, dengan keadaan kewangan yang belum stabil, jawapannya sama seperti di atas. Namun, sekiranya isteri atau ada anak yang telah bekerja ingin sama-sama menyumbang untuk keperluan keluarga maka itulah sebaik-baik sedekah kepada ahli keluarga. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa :
Maksudnya : “Dan dinar (harta) yang kamu belanjakan di jalan Allah dan dinar yang kamu berikan kepada hamba (untuk membebaskan) dan dinar yang kamu sedekahkan kepada orang miskin serta dinar yang kamu sedekahkan kepada keluargamu. Maka yang paling besar ganjaran pahalanya adalah yang kamu sedekahkan kepada keluargamu ” (Riwayat Muslim)
Sekian, terima kasih.