BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya mengenai status saya dan suami. Adakah saya dan suami masih suami isteri yang sah kerana kami sedang menunggu pengesahan lafaz cerai secara kinayah daripada pihak mahkamah syariah. 

Untuk pengetahuan pihak tuan, suami saya telah melafazkan lafaz cerai kinayah sebanyak 6 kali dan beliau menyatakan ada niat 2 kali daripada lafaz tersebut. 

Sekiranya suami hanya berniat menceraikan saya pada masa akan datang dan bukan ketika lafaz cerai kinayah dibuat, adakah jatuh talak dari segi hukum syara'?

Suami melafazkan lafaz tersebut pada 7 Mei 2025 dan 6 Jun 2025. Saya amat memerlukan bantuan dan jawapan dengan segera kerana ingin jelas dengan status saya.. adakah saya masih isteri yang sah kepada suami atau tidak? 

Sekiranya saya perkahwinan kami masih sah, adakah saya perlu menjaga aurat di hadapan suami? Ini kerana suami dan saya mengambil langkah berjaga-jaga..kami tidak lagi tinggal serumah dan say menutup aurat di hadapan suami.

Mohon penjelasan. Terima kasih 

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab pertanyaan puan :

1. Memandangkan kes puan telah difailkan di Mahkamah Syariah dan untuk makluman pihak puan, sememangnya pihak yang berautoriti atau berbidangkuasa di dalam menentukan sesuatu penceraian itu berlaku yakni jatuh atau tidak adalah pihak Mahkamah Syariah, maka adalah disyorkan agar menunggu keputusan dari Mahkamah Syariah berkaitan pengesahan lafaz kinayah suami puan tersebut. Ini sebagaimana yang dijelaskan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) 2003 di bawah Seksyen 57. Perkara ini penting kerana dikhuatiri pandangan kami berbeza dengan keputusan yang diputuskan oleh pihak Mahkamah Syariah lantaran pihak kami hanya mendapat maklumat dari sebelah pihak tetapi pihak Mahkamah pastinya mendapatkan maklumat dan keterangan dari banyak pihak bagi menyokong dan menperkukuhkan keputusan yang mereka sabitkan nanti.

2. Pertanyaan puan berkaitan sekiranya suami hanya berniat menceraikan puan pada masa akan datang dan bukan ketika lafaz cerai kinayah itu dibuat, Imam al-Nawawi menjelaskan dalam kitabnya Rawdat al-Talibin :

أَمَّا أَلْفَاظُ الْكِنَايَةِ فَلَا تَقَعُ بِهَا الطَّلَاقُ إِلَّا أَنْ يَنْوِيَ بِهَا الطَّلَاقَ

Yang bermaksud : “Adapun lafaz-lafaz kinayah, maka tidak jatuh talak dengannya kecuali apabila si suami berniat talak ketika melafazkannya.” Maksudnya niat itu hendaklah ketika lafaz kinayah dilafazkan bukan pada masa akan datang baru hendak berniat menceraikan isterinya.

3. Selagi Mahkamah Syariah belum mensabitkan perceraian dan tiada talak yang benar-benar jatuh, maka :

    a) Puan masih isteri yang sah.

    b) Tidak wajib menutup aurat di hadapan suami.

    c) Boleh tinggal serumah atau melakukan hubungan suami isteri.

Namun, keputusan puan dan suami tinggal berasingan sementara menunggu keputusan Mahkamah Syariah adalah keputusan yang baik sebagai langkah berhati-hati dalam menjaga hubungan. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 52

message user image