BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalammualaikum, 

Apakah hukum seorang suami kerap mengatakan isterinya menyusahkan dan bodoh. Suami juga kerap mengatakan isteri tidak faham apa yang dia cuba jelaskan dan isteri pula merasai bahawa suami sukar memahami dirinya. Maka kerap ada perselisihan faham dan susah untuk berbincang hal rumahtangga termasuk urusan penyediaan tempat tinggal tetap untuk keluarga, contohnya, suami membuat keputusan sendiri dan akhir memutuskan untuk tinggal berdekatan dengan adik beradik dia tanpa perbincangan dengan isteri. Isteri sentiasa dipersalahkan. Banyak hal yang isteri sendiri tidak tahu. Segala urusan, bercuti dan lain lain kerap bersama keluarga suami. Suami pula tidak mahu bersama dengan keuarga isteri (contoh sambutan hari raya kerap di kampung suami dan akhirnya isteri sambut sendirian dirumah ibu sendiri). Isteri rasa amat tertekan dan memikul perasaan sendirian. Isteri terima hakikat bahawa perbezaan umur, ego dan status suami (berpendidkan tinggi, dll) mungkin penyebabnya. 

Maka bolehkah seorang isteri memohon dilepaskan kerana takut menderhaka dan takut menyusahkan suaminya di masa akan datang. Isteri juga tidak mampu lagi menanggung emosi dan mental. Mohon bimbingan dan perjelasan. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاتة

الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى اله وصحبه أجمعين أما بعد

Berdasarkan kepada kenyataan puan, adalah tidak wajar seorang suami yang berpendidikan tinggi melakukan perbuatan tersebut terhadap isteri, yang mana sepatutnya menjadi contoh tauladan yang baik dalam setiap perbuatan dan tindakan yang dilakukannya. Lebih-lebih lagi sebagai ketua keluarga. Oleh kerana tiada persefahaman dalam rumahtangga dan wujud tekanan yang mengundang ketidakharmonian sesama suami isteri, sebaiknya perkara ini boleh dipanjangkan ke Pejabat Agama Islam Daerah yang berhampiran tempat tinggal untuk mendapatkan khidmat nasihat kekeluargaan. 

Dalam Islam, rumahtangga itu dibina atas dasar persefahaman dan kasih sayang. Apa jua permasalahan yang wujud diantara suami isteri hendaklah dibincangkan bersama. Sekiranya tiada perubahan dan semakin tertekan, isteri boleh memohon kepada pihak Mahkamah Syariah untuk perceraian. Justeru, isteri berhak untuk hidup bahagia, mental yang sejahtera dan mengelak pembulian dalam rumahtangga.  

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 48

message user image