Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya ingin bertanya adakah jatuh talak sekiranya suami berkata " Aku dengan kau pun cerai", dan suami pernah bagi taklik sekirannya saya keluar rumah tanpan izin dia akan jatuh talik 3"
Jawapan
Menjawab pertanyaan puan:
Lafaz suami "Aku dengan kau pun cerai" adalah merupakan ayat yang tidak jelas atau sorih. Ayat ini boleh dikira sebagai lafaz kinayah atau sindiran/perumpamaan. Maka dalam mazhab Syafi‘i, talak dengan lafaz kinayah hanya akan jatuh apabila ada niat cerai daripada suami ketika melafazkannya.
Adapun berkaitan taklik "sekirannya isteri keluar rumah tanpa izin suami akan jatuh talik 3" pula adalah lafaz taklik dalam bentuk perkhabaran atau khabari atau kenyataan atau iaitu sekiranya isterinya keluar rumah tanpa izin dia maka dia akan jatuh talak 3.
Walaubagaimanapun, memandangkan pihak yang berautoriti atau berbidangkuasa di dalam menentukan sesuatu penceraian itu berlaku atau tidak adalah pihak Mahkamah Syariah, maka disyorkan agar perkara ini dirujuk kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi melaporkan dan membuat pengesahan terhadap perkara tersebut dalam kadar yang segera sebagaimana yang dijelaskan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) 2003 di bawah Seksyen 57, memandangkan urusan pengesahan perceraian adalah merupakan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Sekian, terima kasih