Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. Saya ada kemusykilan tentang nafkah tempat tinggal. Saya bekerja di JB dan suami pula di Muar. Saya cuba untuk bekerja di Muar tetapi gaji yang ditawarkan sangat rendah berbanding di JB dan saya perlu kerja untuk menampung ibu saya dan membayar hutang belajar saya. Saya bekerja di JB dan tinggal bersama ibu di rumah pusaka. Suami bekerja di Muar berpendapatan kecil , tinggal di rumah pusaka. Persoalan saya, adakah menjadi kewajiban bagi suami untuk menyediakan tempat tinggal untuk saya yang di JB? Sedangkan saya sudah menumpang rumah ibu dan suami ada menyediakan rumah di Muar. Ibu saya menyindir suami saya seolah-olah tidak menjalankan tanggungjawab menyediakan tempat tinggal.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, tuntutan nafkah bagi suami untuk menyediakan tempat tinggal telah terlaksana dengan menyediakan rumah di Muar. Nafkah itu wajib diberi oleh suami mengikut kemampuannya. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.” (at-Talaq : 7) Apapun, tidak harus jika suami diminta pula untuk menyediakan rumah di Johor Bharu jika suami tidak berkemampuan atau suami tidak berkehendakan. Sebagai seorang ibu, tidak sepatutnya menyindir menantu yang boleh mendorong kepada ketidakharmonian rumahtangga mereka. Hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bukan dikalangan kami (umat Nabi Muhammad SAW) orang yang merosakkan hubungan seorang isteri dengan suaminya” (Riwayat Abu Daud) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.