Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt Ustaz.
Soalan dan permasalahan saya ini lebih bersifat peribadi. Walaubagaimanapun saya mohon mendapat sedikit pencerahan dan nasihat untuk saya hadapi masalah saya ini dengan lebih tenang.
Baru-baru ini saya terbaca melalui whatsapp suami saya bersama 2 rakan perempuannya ( dari kerja dan dianggap seperti kakak ) yang mana bercerita mengenai saya. Ada juga whatsapp saya yang suami saya forwardkan kepada rakannya itu mengenai saya meminta suami belikan bahan-bahan untuk saya berniaga. Ada juga yang mana suami saya menggelarkan saya sebagai 'mem besar' kepada rakannya. Dan juga lain-lain mesej yang suami saya kongsikan bersama rakannya mengenai saya.
Suami merupakan anak tunggal dan tidak berapa pandai membantu dengan kerja rumah. Kami juga tidak mempunyai anak. Suami saya merupakan kakitangan awam , sentiasa sibuk dengan program-program dan jarang berada di rumah.
Saya pula surirumah tetapi berniaga dari rumah dengan menjual makanan dan pakaian secara online. Buat pengetahuan Ustaz, selama lebih kurang 10 tahun kami berkahwin ,suami jarang sekali memberi nafkah zahir dan batin buat saya. Alasan sibuk, penat bekerja. Nafkah zahir juga sangatlah jarang tetapi saya faham sebab suami saya bukanlah pegawai awam yang bergaji tinggi. Dia juga banyak tanggungan hutang dan ibu bapa yang perlu ditanggung.
Masalah saya ialah,saya telah cuba memaafkan perbuatan suami.. tetapi kenapa Ustaz, hati saya terasa sakit dan sedih. Saya cuba buat seperti biasa tetapi setiap malam ,setiap doa dan solat air mata saya tak dapat ditahan. Hendak memandang suami pun saya rasa tidak sanggup. Hati saya rasa kecewa dan dikhianati. Walaupun saya sudah berterus terang dengan suami mengenai semua ini, suami diam tapi menghantar whatsapp mengatakan bahawa kedua kawannya itu adalah orang yang baik. Tetapi bila suami dengan saya, dia hanya diam. Tiada meminta maaf atau beri apa-apa penjelasan. Kami juga tidur berasingan dan dia hanya membiarkan sahaja tanpa ada apa-apa tindakan.
Jujur Ustaz.. hati saya dah tawar. Walaupun selama ini saya banyak beralah dan bertoleransi dengan segala perbuatannya sebagai seorang anak manja, saya masih memaafkan dia dan berbaik dengannya. Tetapi untuk masalah ini saya seolah sudah tak dapat nak memujuk hati sendiri.
Apa yang perlu saya buat Ustaz. Sebab saya rasa sudah tak mahu berbaik dengannya. Adakah dengan mempunyai perasaan seperti ini membuat saya berdosa? Adakah saya ini isteri yang jahat? Yang tidak memahami suami saya? Adakah saya hanya mengikut perasaan?
Semoga Ustaz dapat memberi sedikit sebanyak nasihat dan bimbingan untuk saya. Terima kasih.
Jawapan
1. Allah SWT berfirman dalam surau Al Baqarah ayat ke 286 :
Maksudnya : Allah tidak membebankan seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya
Al Imam Al-Tabari menyatakan dalam tafsirnya :
Maksudnya : Allah tidak membebankannya dengan kewajipan kecuali yang dalam kemampuan tenaganya, dan tidak mewajibkan amalan kecuali yang dia mampu lakukan.
Begitu juga Al Iman Ibnu Kathir menyatakan :
Maksudnya : Allah tidak membebani seseorang dengan sesuatu yang melebihi kemampuannya. Ini adalah antara kelembutan Allah Ta‘ala terhadap hamba-Nya dan rahmat-Nya kepada mereka
Daripada pandangan dua ulamak tafsir ini jelas bahawa firman Allah dalam surah Al Baqarah, ayat 286 ini bermaksud Allah SWT tidak membebani manusia dengan sesuatu yang mereka tidak mampu kawal. Hati dan perasaan termasuk hal yang sering di luar kawalan manusia.
Oleh yang demikian, puan tidak berdosa kerana rasa tawar hati atau kecewa terhadap suami. Itu fitrah yang Allah tidak bebankan. Yang penting puan tetap menjaga kewajipan asas sebagai isteri, tidak membuka aib suami, dan berusaha mencari jalan keluar yang baik, sama ada melalui nasihat, kaunseling, atau jika tidak mampu lagi, melalui jalan syarak. Nabi SAW sendiri bersabda bahawa hati itu ada pasang surut, ada masa cinta kuat, ada masa lemah sebagaimana iman ada kala meningkat dan ada kala menurun. Yang Allah larang ialah bila perasaan itu membawa kepada tindakan yang salah seperti menghina, mengabaikan kewajipan sebagai isteri, atau mendoakan keburukan. Jadi jangan rasa bersalah hanya kerana hati puan sakit. Itu tanda puan masih peka, masih ada nilai diri, masih mengharapkan hubungan rumah tangga yang berharga.
2. Perbuatan suami berkongsi hal-hal rumah tangga, mesej mengenai isteri dengan kawan perempuan yang lain, bahkan bergurau dengan gelaran yang merendahkan, adalah tidak wajar. Walaupun dia kata kawannya “baik”, itu tidak menghalalkan perbuatan membuka aib isteri.
Hadis daripada Abi Said Al Khudri RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda :
Yang bermaksud : Sesungguhnya antara manusia yang paling buruk kedudukannya di sisi Allah pada hari kiamat ialah lelaki yang berhubungan dengan isterinya, lalu isterinya dengannya, kemudian dia menyebarkan rahsianya
Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim menegaskan : hadis ini bukan hanya larangan mendedahkan rahsia hubungan intim, tapi termasuk juga semua rahsia dan aib rumah tangga.
Dalam hukum syarak pula Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebut dalam Fath al-Bari :
Maksudnya : Haram bagi seorang suami mendedahkan aib isterinya, bahkan wajib baginya memelihara dan menutupinya.
3. Akhirnya, puan telah berkhidmat untuk suami dengan baik dan berusaha memastikan rumahtangga yang dibina ini kekal bahagia sebagaimana yang diharapkan, namun Allah SWT menguji puan dan suami, yang pastinya ujian itu ada hikmah yang sengaja Allah rahsiakan. Apa yang penting sebagai hambaNya, puan jaga hubungan dengan Allah, walau hati sangat pedih, jangan lepaskan doa. Puan boleh luah semua rasa dalam sujud terakhir. Sebut nama suami, sebut apa yang dia buat, mohon Allah yang lembutkan hati dia atau beri jalan keluar terbaik. Disamping cubalah sekali lagi berkomunikasi dengan baik. Bukan untuk “memujuk hati suami”, tapi untuk menyampaikan isi hati puan dengan jelas dan jujur. Jangan mesej, jangan sindir, kalau dia tetap tidak memberi respon yang baik, sekurang-kurangnya puan sudah tunaikan tanggungjawab menyampaikan. Dan yang terakhir, puan boleh gunakan pihak ketiga sebagai orang tengah. Kadang-kadang suami isteri tersekat bila berdua saja. Puan boleh minta nasihat imam masjid, Pegawai khidmat nasihat keluarga, atau ahli keluarga yang dihormati. Dalam Islam pun ada konsep hakam, bila suami isteri berselisih, wakil dari dua keluarga duduk berbincang. Semoga usaha puan diberkati Allah SWT.
Sekian, terima kasih