Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan,
Saya ingin mendapatkan kepastian berkenaan solat jamak dan qasar. Saya baru dipindahkan tempat kerja luar daripada daerah tempat saya dan keluarga menetap. Jarak perjalanan dari rumah ke tempat kerja adalah kira-kira 120km. Setiap minggu saya akan bergerak ke tempat kerja pada hari isnin selepas subuh dan pulang semula ke rumah suami pada jumaat petang. Pada hari-hari lain (selasa - khamis) saya tinggal dibilik sewa di kawasan tempat kerja yang dibayar secara bulanan. Persoalan saya adalah adakah saya boleh melakukan solat jamak dan qasar sepanjang saya berada di daerah tempat saya berkerja (selasa -khamis) atau hanya boleh pada hari perjalanan pergi dan balik (isnin dan jumaat)?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, seseorang yang bermusafir dianggap bermukim apabila menginap atau tinggal di sesuatu tempat melebihi 3 hari tidak termasuk hari tiba dan hari keluar dari tempat tersebut.
Berdasarkan kenyataan yang diberikan, saudari keluar ke tempat kerja yang jaraknya lebih 2 marhalah pada hari Isnin dan akan balik semula pada hari Jumaat petang. Hari Isnin dikira sebagai hari tiba. Ini bermakna perkiraan hari bermula pada hari Selasa, Rabu dan Khamis, selama 3 hari. Manakala hari Jumaat tidak dikira sebagai hari menginap kerana ia dianggap sebagai hari keluar, dengan syarat puan keluar dari kawasan tempat tinggal atau sewa sebelum masuk waktu maghrib. Oleh itu, dalam situasi yang puan hadapi, diharuskan untuk menunaikan solat secara jamak dan qasar sepanjang berada di sana.
Sekian, terima kasih.