BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assamualaikum WBT

Soalan saya berbunyi. Sekiranya saya bermusafir balik kampung pada hari jumaat pukul 10 pagi dengan bas. Dan saya juga berniat untuk bermukim di kampung melebihi 4 hari. Adakah wajib keatas saya untuk solat jumaat? Dan Sekiranya wajib ke atas saya untuk bersolat jumaat, adakah saya berdosa meninggalkan solat jumaat jika bas saya tidak behenti untuk solat jumaat?

Saya keliru. Kebanyakkan pertanyaan merujuk kepada orang musafir dengan kenderaan sendiri yang mana mereka berkuasa untuk merubah haluan untuk tujuan solat jumaat dan musafir menaiki kapal terbang. 

Mohon pencerahan

Terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, menurut pendapat yang muktamad di dalam Mazhab al-Shafi'i, sekiranya permusafiran pada hari Jumaat dilakukan sebelum fajar, maka gugur ke atasnya untuk melakukan solat Jumaat, sebaliknya musafir selepas terbit fajar, maka wajib mengerjakan solat Jumaat. Oleh kerana tuan bermusafir selepas terbit fajar hari Jumaat (selepas subuh), maka tuan wajib menunaikan solat Jumaat. Tindakan meninggalkan solat Jumaat dengan sengaja adalah berdosa sebaliknya sekiranya tidak disengajakan maka tidak berdiosa. 

Pendapat lain di dalam mazhab Syafie seperti mana yang dinukilkan oleh Imam al-Nawawi di dalam kitab Raudhah al-Talibin. Mereka berpendapat gugur kewajipan solat Jumaat jika bertolak musafir selepas fajar dan sebelum tergelincir matahari. Inilah pendapat qadim (lama) Imam al-Syafie, Syeikh Harmalah, dan dinukilkan juga oleh al-Syirasi di dalam al-Muhazzab

Pendapat kedua ini lebih dekat dengan suasana pada hari ini. Suasana mutakhir ini banyak perjalanan bergantung kepada jadual bas, kereta api dan kapal terbang yang berlepas selepas fajar. Jika kenderaan bertolak pada jam 11.00 pagi contohnya, adalah menyukarkan bagi seseorang untuk keluar daripada kampungnya sebelum fajar dan perlu menunggu lama. Namun, hendaklah musafir itu atas tujuan yang mubah/harus, bukan makruh ataupun haram.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 23

message user image