Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Apakah solusi terbaik apabila surau lelaki & perempuan yang bersebelahan tetapi terpisah dengan dinding penuh mahu mengerjakan solat secara berjemaah?
Adakah dengan memasang camera dan mic (surau lelaki) di sambung ke surau perempuan dengan menggunakan skrin layar atau TV dan pembesar suara sudah boleh atau syarat untuk berjemaah tercapai?
Jawapan
Perlu difahami bahawa surau (musolla, surau dan surau Jumaat) berbeza dengan masjid. Perbezaan ini baik daripada segi maksud dan juga hukum. Oleh itu, surau tidak boleh dihukumkan sebagai masjid dan tidak berhukumkan dengan hukum masjid.
Bagi surau, isu ruangan solat yang terpisah akan memberikan kesan kepada keabsahan solat berjemaah. Ini kerana ruangan yang terpisah menunjukkan saf yang terpisah dan tidak bersambung. Berdasarkan kepada situasi yang diterangkan, jika ruangan solat dipisahkan dengan dinding dan tiada apa-apa pintu mahupun sambungan atau laluan yang menghubungkan saf lelaki dengan wanita, maka ia dianggap terputus saf dan tidak sah solat wanita jika mengikut imam pada ruangan solat lelaki. Walaupun dapat mengetahui pergerakan imam melalui skrin layar dan pembesar suara contohnya, tetapi tetap tidak memadai kerana surau tidak mengambil hukum masjid.
Solusi terbaik adalah perlunya ada laluan yang menyambungkan antara saf wanita dan saf lelaki sekurang-kurang satu orang boleh lalu. Tidak memadai dengan sekadar tingkap atau skrin layar.
Sekian, terima kasih.