Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum saya ada beberapa soalan berkaitan solat.
1. Jika saya makan coklat sebelum solat, akan tetapi ada sisa yang terlekat. Saya sudah kumur2 tiga kali. Akan tetapi masih terasa Manis-manis coklat ketika solat. Adakah batal. Atau cukup sekadar kumur-kumur 3 kali. Atau saya sudah berusaha untuk hilangkannya. Atau adakah perlu saya memberus Gigi terlebih dahulu? Kerana ia sering berlaku kepada saya setiap kali selepas makan tengahhari untuk solat zohor.
2. Jika saya bangun dari sujud untuk takhyat akhir. Saya merasakan badan saya seperti terpusing sedikit dari arah kiblat kerana kedudukan takhyat akhir yang sedikit senget ( tidak duduk di atas kaki). Adakah perlu saya solat semula kerana setahu saya terpaling dari arah kiblat membatalkan solat. Ataupun saya perbetulkan sahaja kedudukan dada Dan bahu saya? Saya seperti tidak sengaja Dan tidaklah terlampau jauh lari dengan arah kiblat. Mohon pencerahan dari pihak tuan.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
1. Merujuk persoalan yang dikemkakan, solat yang telah dilakukan tersebut tidak batal. Hal ini kerana sisa makanan tersebut telah bercampur dengan air liur serta susah untuk membezakannya apalagi setelah berusaha membuangnya dengan berkumur-kumur dan keadaan tertelan dengan tidak sengaja disebab kesukaran menghalangnya. Sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitab al-majmuk:
Dan sekiranya makanan yang terlekat di celahan gigi kemudian ditelan makanan tersebut dengan sengaja atau sesuatu yang turun daripada kepala kemudian ditelannya secara sengaja, maka batal solatnya tanpa ada khilaf fuqaha’.
Selain itu, sekiranya menelan sesuatu yang sukar dihalang seperti bercampurnya air liur dengan makanan tanpa sengaja atau menelan kahak yang sukar untuk menghalangnya, maka tidak membatalkan solatnya.
Sebaiknya,tuan mengambil pendekatan bersugi atau menggosok gigi selepas makan agar tidak menimbulkan keraguan kepada ibadah yang bakal dilakukan.
2. Antara syarat sah solat adalah menghadap kiblat iaitu dadanya mesti menghadap ke arah kiblat. Namun begitu, terpaling dada dari arah kiblat yang sedikit tidak menjejaskan kesahihan solat tersebut. Hal ini sebagaimana dinyatakan dalam kitab al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie bahawa:
Bagi mereka yang jauh dari Kaabah atau mereka yang terhalang daripada melihat terus kepada Kaabah, tidak memudaratkan solat jika posisi agak ke kanan sedikit dan ke kiri sedikit daripada ain Kaabah, kerana itu adalah kesilapan yang tidak terlalu jauh, selagi mana tidak tersasar daripada arah Kaabah.
Oleh itu, solat yang tersasar sedikit ke kanan seperti mana yang disebut tidak memudaratkan kesahihan solat tersebut.
Sekian, terima kasih.