BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. 

Soalan saya, isteri ada teringat seperti suami seakan melafazkan taklik tetapi ayat tidak berapa ingat kerana sudah lama. Seandainya ayat seperti berikut, adakah jatuh taklik. 

1.Jika awak terlanjur, abang lepas awak ya.

2.Jika awak terlanjur, abang kena lepas awak ya. 

3.Jika awak terlanjur, abang terpaksa lepas awak ya. 

Saya dan suami tidak pasti ayat yang mana satu. Saya tanya suami, dan dia jawab masa tu dia hanya memberitahu jika saya terlanjur, dia kena lepaskan walau pun sayang kerana hukum juga be gitu. Dia cuma niat untuk memberitahu dia akan bercerai jika dapati saya terlanjur. Dia tiada niat untuk memberi taklik hanya nasihat semata-mata.

Mohon penjelasan, adakah jatuh taklik dan kami was2 ayat yang mana satu. 

Terima kasih. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab pertanyaan puan :

Ketiga-tiga ayat di atas secara umumnya adalah lafaz kinayah kerana perkataan “lepas” itu boleh difahami sebagai talak atau cerai dan boleh juga difahami sekadar merajuk atau marah atau sekadar nasihat atau sebagainya. Suami puan juga mengaku bahawa dia tiada niat untuk cerai tetapi sekadar hendak memberitahu atau memperingatkan isteri atau menasihatkan isteri, sekiranya isteri terlanjur pasangan akan atau terpaksa bercerai.

Oleh yang demikian, lafaz suami puan itu tidak menyebabkan jatuh talak dan tidak sah sebagai taklik, kerana ia bukan lafaz yang tegas atau sorih dan suami puan sendiri tidak berniat untuk bercerai. Apatah lagi puan dan suami juga was-was tentang ayat yang dilafazkan secara pasti. Dalam keadaan was-was dan samar, hukum asal perkahwinan adalah kekal. Ini sebagaimana yang dijelaskan dalam kaedah fiqh :

ٱلْيَقِينُ لَا يَزُولُ بِٱلشَّكِّ

Maksudnya : Keyakinan tidak hilang dengan sebab syak atau keraguan

dan kaedah :

ٱلْأَصْلُ بَقَاءُ مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ

Maksudnya : Asal hukum ialah kekal sesuatu sebagaimana asalnya.

Oleh itu, asal perkahwinan puan adalah sah dan masih kekal, maka ia tidak berubah hanya kerana syak atau ingatan samar tentang lafaz tersebut.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 33

message user image