Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum Ustaz / Ustazah, Saya dan suami bernikah di Pejabat agama Yala, selatan Thailand pada 2010. Pada bulan 12 2024, kami tidak mendaftarkan pernikahan kami di Malaysia atas faktor kewangan untuk bayaran denda. Pada bulan 12 2024, suami telah menceraikan saya melalui panggilan telefon. 1 bulan sebelum tamat temph edah, suami telah merujuk saya semula. pada 5hb Jun 2025, 3 minggu selepas rujuk, suami sekali lagi telah menceraikan saya melalui teks whatsapp, dan sekarang suami ada keinginan ingin rujuk saya semula. Soalan saya, adakah rujuk ini sah?, sekiranya kami bersama adakah itu zina? adakah suami perlu maklumkan pada imam tempat kami tinggal? terima kasih ustaz / ustazah.
Jawapan
Merujuk perkara di atas, sekiranya akad perkahwinan di Pejabat Agama Yala dilakukan mengikut syarak, maka talak dan rujuk yang dilakukan juga adalah sah jika memenuhi syarat dan rukunnya. Sekiranya talak yang dilakukan melalui whatsapp disertakan dengan niat, maka talak tersebut jatuh dan rujuk yang dilakukan kemudiannya adalah sah jika memenuhi syarat dan rukunnya. Justeru, perbuatan puan dan suami bersama selepas itu adalah sah dan tidak dikira sebagai zina.
Namun begitu, adalah sangat disarankan kepada pihak puan dan suami untuk mendaftarkan perkahwinan, penceraian, dan rujuk kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran untuk mendapatkan keputusan yang jelas dan bagi mengelakkan kesan yang lebih besar seperti kekeliruan yang akan timbul berkaitan faraid, penisbahan anak dan seumpamanya.
Sekian, terima kasih.