BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalammualaikum, 

Saya nak bertanya, tetapi sebelum itu benarkan saya bercerita sedikit. Saya malu dengan diri saya sendiri. Saya berumur 21 tahun. Saya hanya ingat kali terakhir saya solat ialah pada waktu sekolah menengah. Tetapi saya rasa solat saya tidak sah kerana saya tidak pernah mandi wajib kerana saya tidak tahu apa itu mandi wajib sehingga saya berusia 15 tahun. Tapi saya masih tidak buat. Saya mandi wajib waktu saya 17 tahun. Tapi setelah habis sekolah pada usia 18 tahun. Saya langsung tidak solat. Saya malu dengan diri saya. Pada malam semalam saya secara tiba-tiba ingin bertaubat. Saya rasa jiwa saya terlalu kosong. Kemudian saya fikir sejenak, saya dah lama tidak solat. Saya juga mempunyai ketagihan terhadap pornografi. Tetapi saya sedang usaha untuk membuang ketagihan saya.  Saya merasakan ingin bertaubat dan mula solat semula. Saya terus berazam untuk solat dan bertaubat. Saya mulakan dengan mandi wajib dan memperbaiki bacaan dalam solat. Tapi sungguh kekok untuk saya mula solat semula. Bacaan dalam solat saya tidak berapa ingat. Jadi saya buat carian di internet. Masih kekok saya dengan bacaan dalam solat saya. Soalannya :-

1. Adakah solat saya diterima kerana sesungguhnya saya kekok dalam bacaan solat saya walaupon saya tidak berapa yakin?
2. Adakah saya perlu mengganti solat saya sejak saya akil baligh? 
3. Adakah ibadah saya yang lain seperti puasa tidak sah sekiranya saya tidak mandi wajib?

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Bersyukur kepada Allah SWT atas hidayah yang dikurniakan untuk tidak terlibat lagi dengan perbuatan dosa. Semoga Allah menerima taubat Tuan dan diampunkan dosa sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Nur ayat 31:

وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.

Merujuk kepada persoalan:

1. Pada asalnya, bacaan yang wajib dibaca dalam solat adalah takbiratul ihram, surah al-Fatihah, bacaan tasyahhud akhir, bacaan selawat ke atas Nabi SAW pada tasyahhud akhir dan salam. Manakala bacaan-bacaan lain adalah sunat. Kami melihat ada beberapa aturan utama yang boleh diikuti jika belum menghafal Surah al-Fatihah atau bacaan tasyahhud akhir dan bacaan selaat. Jika sudah boleh membaca tetapi tidak menghafalnya, dibolehkan membaca sambil memegang lampiran kertas yang ada tertulis surah al-Fatihah contohnya. 

2. Dalam menjawab persoalan ini, wajib qadha solat yang ditinggalkan dengan sengaja menurut pandangan daripada Imam Syafie, Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Ahmad dan kebanyakan para ulama dalam kalangan ahli tafsir, ahli hadis, ahli fiqh, ahli usul dan lain-lain.

3. Secara umumnya, mandi wajib merupakan mandi yang mana tidak sah ibadat seseorang tanpa melakukannya terlebih dahulu. Allah SWT berfirman dalam surah al-Maidah ayat 6:

وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا

Maksudnya: Dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib.

Justeru itu, wajib baginya mengulangi mandi wajibnya semula dan menqadha’kan solat dan ibadah lain yang dilakukan selama bertahun-tahun. Hal ini kerana solat yang dilakukan tidak sah disebabkan ia dikerjakan dalam keadaan berhadas besar. Berdoalah kepada Allah SWT memohon agar diampunkan kesilapan dan kejahilan kita dan diterima segala amal ibadah tersebut oleh Allah SWT atas kekeliruan sebagai hamba-Nya yang kerdil.  

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 23

message user image