Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya ada masalah haid.. Pada 12 hari pertama, haid saya keluar secara selang-seli, keluar dengan sangat sedikit atau spotting sahaja (saya hanya pakai panty liner sahaja) dan berwarna coklat. Tetapi pada hari ke 13 dan seterusnya, darah haid saya keluar dengan banyak sangat (sehingga saya perlu ganti tuala wanita banyak kali dalam sehari) sehingga bocor dan berwarna merah. Jadi macam mana kiraan kitar haid saya dan mana satu yang istihadhah..Masalah ini saya sudah merujuk kepada Dr, dan Dr cakap saya ada masalah hormon selepas ambil pil hormon sewaktu hendak menunaikan umrah.
Sekian,terima kasih
Jawapan
Secara umumnya, sebanyak-banyak tempoh haid adalah 15 hari 15 malam. Merujuk kepada persoalan, jika darah yang keluar tidak melebihi tempoh maksimum haid maka kesemua darah yang keluar dalam tempoh tersebut dihukumkan sebagai haid.
Namun, jika darah keluar berterusan sehingga melebihi tempoh maksimum haid, maka ia adalah darah yang bercampur antara darah haid dan istihadhah. Terdapat dua kaedah dalam menentukan darah haid dan istihadhah, iaitu:
Kaedah Tamyiz: Membezakan darah yang keluar tersebut dengan melihat kepada sifat-sifat yang ada pada darah. Darah yang kuat (hitam) dianggap sebagai darah haid manakala darah lemah (merah) dianggap sebagai darah istihadhah. Kaedah ini mesti didahulukan.
Kaedah Adat: Jika tidak dapat membezakan jenis darah atau darah hanya bersifat satu warna sahaja (tiada beza) maka boleh ditentukan menggunakaan adat kebiasaan haidnya dengan merujuk kepada kitaran haid yang paling hampir (bulan sebelumnya). Sebagai contoh, adat haidnya 7 hari dan 23 hari adalah tempoh suci. Maka ia boleh ditentukan haidnya boleh jadi hanya 7 hari sahaja dan selebihnya adalah darah istihadhah
Sekian. Terima kasih.