Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz,
Air hingus kerap keluar hidung kerana selesema, sehingga masuk ke dalam mulut beberapa kali. Tapi saya berusaha meludah dan tidak menelan air hingus tersebut sehingga selesai solat..
Saya yakin saya telah berusaha untuk tidak menelan air hingus dengan meludah dan mengelap dan yakin bahawa solat saya sah.
1. Apakah cara saya diterima?
2. Apakah saya perlu mengulang solat saya jika ada sedikit air hingus yang tersisa dalam mulut walaupun sudah meludah?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, antara perkara yang membatalkan solat adalah sesuatu yang membatalkan puasa seperti memasukkan sesuatu ke dalam rongga. Oleh itu, menelan sesuatu yang mempunyai zat seperti makanan, kahak, hingus dan sebagainya boleh membatalkan solat.
1. Perbuatan yang tuan lakukan adalah benar di sisi syarak. Hal ini kerana terdapat hadis Nabi SAW yang menyatakan perkara tersebut, hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA:
Maksudnya: Bahawasanya Nabi SAW terlihat kahak di (dinding) kiblat, dan Nabi tidak menyukai akan hal itu sehingga terpapar (kemarahan) pada wajahnya. Lalu Baginda SAW pun bangun dan membuang (kahak) dengan tangannya. Lalu Baginda bersabda “Apabila seseorang daripada kamu mendirikan solat, sesungguhnya dia sedang bermunajat kepada tuhan-Nya, atau Tuhan-Nya berada di antara dirinya dan qiblat, maka tidak patut seorang pun meludah ke arah kiblat, tetapi (ludahlah) disebelah kirinya atau di bawah kakinya”. Kemudian Baginda SAW mengambil hujung selendangnya, dan meludah kemudian melipat bahagian itu kemudian bersabda “Atau hendaklah orang itu melakukan seperti ini” (Riwayat al-Bukhari)
2. Solat yang tuan lakukan dikira sah dan tidak perlu diganti semula. Hal ini kerana tuan telah sedaya upaya agar tidak menelan hingus dan tidak dikira cuai dalam perkara tersebut. Ini berdasarkan kenyataan yang di sebutkan dalam kitab Kifayah al-Akhyar:
Maksudnya: Jika keluar kahak dari kepalanya dan berada di atas halkum, maka dilihat: jika dia tidak mampu mengeluarkannya lalu kahak itu turun ke dalam perut, maka dia tidak batal puasanya. Tetapi jika dia mampu mengeluarkannya namun dia membiarkannya sehingga kahak itu turun sendiri ke dalam perut, maka puasanya batal juga kerana kecuaiannya.
Kesimpulannya, difahami bahawa sekiranya kahak atau hingus yang keluar dan masuk ke dalam mulut perlu dikeluarkan dengan cara meludah dan tidak boleh ditelan kerana ia boleh membatalkan solat dan puasa seseorang. Namun begitu, jika berlaku setiap kali batuk atau selsema sebaiknya tuan menyediakan tisu atau sapu tangan disamping tuan supaya tuan dapat menyapu hingus yang mengalir bagi mengelakkan hingus tersebut tertelan ke dalam mulut.
Sekian, terima kasih.