BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz. Saya mahu bertanya tentang persoalan rumahtangga. Semoga ada jawapan yang mampu membantu saya.

Ustaz, saya seorang isteri yang bekerja. Suami saya tidak bekerja dan saya pernah bertanya apa yang dia mahu kerja juga dia tidak respon. Persoalan saya ustaz, kerja itu memang bergaji dan bagi saya sudah cukup untuk keperluan rumah. Tapi, ia buat wanita terutamanya saya rasa terbeban semua benda hanya saya yang perlu fikir . Saya rasa dunia rumahtangga terbalik. Suami buat urusan rumahtangga seperti memasak selepas anak balik sekolah, dan jaga dua anak yang belum bersekolah. Tapi, ustaz tak tahu nak cakap seperti suami banyak jadi pak turut. Sehingga saya rasa dia bersama keluarga kami hanya kerana semuanya sudah dibayar. Sewa, bil2, yuran dan keperluan rumah semua tidak perlu difikir.  Tambah lagi,saya sendiri terasa banyak abaikan tanggungjawab kepada suami seperti yang dilakukan oleh suri rumah yang lain. Masa saya terlalu berhambat. Ditambah pula dengan kerenah anak 6. 

Sebagai isteri, saya banyak jadi terasa hati. Apabila terasa, saya banyak diam. Boleh ka saya diam kerana apabila saya marah saya akan mengamuk satu rumah.

Kedua, boleh ka suami saya tu tak nak fikir untuk kerja apa2 hanya kerana saya dah bekerja? Stress nya kerja seorang ustaz. Macam patah kaki sebelah

Satu lagi ustaz, saya ingin bertanya boleh ka saya tidak melayan kehendak suami untuk tidur bersama kerana saya lihat suami selalu tidak solat subuh apabila tidur bersama. Dia hanya bangun dan menjaga anak2 yang tidak bersekolah, sedangkan saya dan anak2 yang lain bangun dan bersiap diri untuk ke sekolah dan kerja. Tandas di rumah ada dua, jadi bukan alasan untuk mengatakan tandas tidak cukup. 

Boleh kah ustaz memberi pencerahan 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab pertanyaan puan :

Dalam Islam suami wajib untuk berusaha sebaik mungkin menafkahkan keluarganya dengan segala upaya tanpa berharap kepada pendapatan isteri. Sekurang-kurangnya hendaklah lelaki itu berusaha menyediakan atau menyumbang tempat tinggal yang selamat dengan peralatan-peralatan asas seperti tempat tinggal, duduk dan memasak, makanan dan minuman, pakaian yang sesuai dan menutup aurat, dan alat dan bahan kebersihan, untuk isteri dan anak-anaknya. Kegagalan menyediakan atau berusaha membantu keluarga akan merendahkan martabat seorang lelaki yang dipertanggungjawabkan dalam syarak untuk menjaga keluarganya.

Suami mestilah sentiasa berfikir, merancang serta berusaha menyediakan nafkah untuk keluarganya walaupun mungkin isterinya bekerja, kerana tugas menyediakan nafkah bukanlah tanggungjawab isteri bahkan ia adalah tanggungjawab suami. Walaupun isteri itu redha, tapi suami hendaklah berusaha juga agar beban tidak terpikul kepada satu pihak sahaja. Sekiranya seorang lelaki itu enggan dan tidak mahu berusaha menafkahi keluarga dalam keperluan asas, maka isteri memiliki hak untuk menfasakhkan perkahwinan dan itu tidak termasuk perkara dosa.

Adapun berkaitan suami menjadi semacam suri rumah dan isteri pula terpaksa bekerja, kami cenderung menyatakan bahawa hukum suami menjadi suri rumah adalah tidak digalakkan jika tidak diredhai oleh isteri. Namun jika isteri meredhainya, maka itu dibenarkan seperti mana diharuskan untuk suami memakan mahar isteri sekiranya oleh isteri tersebut..

Pertanyaan puan berkaitan layanan atau tidur bersama suami (bersetubuh) pula, Islam telah mengariskan antara tanggungjawab isteri adalah mentaati perintah suami pada perkara yang maaruf selagimana perintah tersebut tidak bercanggah dengan syarak. Para fuqaha bersepakat bahawa suami berhak mengajak isterinya untuk bersetubuh pada bila-bila masa yang dia mahu melainkan pada alasan-alasan syarie seperti waktu ketika haid, nifas, keadaan zihar dan ketika ihram. Sekiranya tiada keuzuran syarak, maka menjadi kewajiban isteri menunaikan permintaan suami untuk bersetubuh. Bahkan, berdosa besar sekiranya isteri menolak berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا دَعَا الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ إلى فِرَاشِهِ فأبَتْ فَبَاتَ غَضْبَانَ عَلَيْهَا لَعَنَتْهَا المَلَائِكَةُ حتَّى تُصْبِحَ.

Maksudnya: “Apabila seorang lelaki mengajak isterinya ke katil (dengan tujuan untuk berkelamin), lalu isteri itu menolaknya, maka suami tersebut tidur dalam keadaan marah dengan isterinya. Dengan itu, para malaikat akan melaknatnya (isteri) sehinggalah dia bangun (daripada tidurnya) pada waktu pagi.” (Riwayat al-Bukhari)

Oleh yang demikian, isteri wajib melayan suaminya kecuali ada keuzuran syari'e yang dibenarkan syarak. Dalam situasi seumpama ini, pasangan hendaklah sentiasa berbincang dengan cara yang baik bagi mengatasi permasalahan ini, sekiranya perlu, puan dan suami boleh membuat sesi rundingcara bersama pegawai khidmat nasihat di mana-mana Pejabat Agama Islam yang berhampiran, agar permasalahan ini tidak berpanjangan dan membawa kepada kemudharatan yang lebih besar.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih

 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 39

message user image