BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.

Saya ingin bertanya berkenaan nafkah wajib suami kepada isteri. Saya (isteri), suami dan 2 orang anak perempuan sudah 6 tahun tinggal bersama ibu bapa mertua saya. Selama tinggal bersama mertua, segala perbelanjaan tempat tinggal (bil api, bil air, wifi), makan minum (barang dapur) dan barang keperluan lain (sabun2) ditanggung sepenuhnya oleh ibu bapa mertua saya. Suami tidak menyumbang kerana tiada pendapatan dan malas bekerja. Saya seorang surirumah dan mempunyai perniagaan kecil kecilan dari rumah. Saya juga menanggung sendiri perbelanjaan keperluan yg lain seperti pampers anak. Suami tiada memberi duit belanja kepada saya.

Soalan saya:

1. Adakah nafkah wajib suami kepada isteri dikira terlaksana kerana semuanya cukup dan tersedia?

2. Tiada istilah 'suami culas nafkah' walaupun pada hakikatnya isteri tahu bukan suami yg sediakan nafkah wajib?

Terima kasih. Assalamualaikum 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته     

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan;

1. Dalam Islam, menjadi kewajipan seorang suami untuk menyediakan nafkah zahir kepada isterinya, termasuklah keperluan tempat tinggal, makan minum, pakaian dan barangan asas kehidupan yang lain, mengikut kemampuan dan kadar yang munasabah. Sekalipun semua keperluan ini tersedia dan mencukupi, namun sekiranya ia bukan disediakan oleh suami secara langsung seperti ditanggung oleh ibu bapa mertua, maka kewajipan nafkah tersebut belum dianggap sempurna di sisi syarak. Ini kerana tanggungjawab tersebut terletak pada bahu suami, bukan pihak lain. Maka, cukupnya keperluan harian semata-mata tidak bermakna nafkah telah terlaksana jika suami tidak menyediakannya atau tidak berusaha untuk menunaikannya.

2. Hakikat bahawa segala keperluan isteri dan anak-anak bukan disediakan oleh suami, bahkan oleh pihak lain seperti ibu bapa mertua, menunjukkan bahawa suami telah cuai dalam menunaikan kewajipan nafkah yang diwajibkan oleh syarak. Tidak wujud pengecualian atau keharusan bagi suami untuk lepas tangan hanya kerana keperluan tersebut telah sedia ada. Bahkan, sekiranya suami enggan bekerja tanpa sebab yang sah dan tidak memberikan belanja kepada isteri, maka dia dikira berdosa serta boleh dianggap sebagai suami yang culas dalam menjalankan tanggungjawabnya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 41

message user image