Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ada pertanyaan berkenaan lafaz talak..pada 12/7/2025 saya Dan suami telah bertengkar Dan dalam pertengkaran itu dalam keadaan marah suami jerit pada saya 'kau nak sangat kan" okay.."aku lepaskan kau tapi kau jangan cari aku lagi,biar aku mati je"..pada masa itu saya tanya pada suami betul ke dia nak lepaskan saya, suami jawab kalau kau Tanya lagi soalan tu aku memang akan jawab lagi Dan suami ada ugut nak bunuh diri.Saya diam Dan terus beritahu keluarga saya tapi depan keluarga saya suami tak mengaku Dan dia beritahu dia sebut semua tu sebab dia tengah marah Dan suami tak ada pun sebut nak ceraikan saya..hanya sebut lepaskan saya, dia buat seolah tiada apa yang berlaku Dan dia kata itu hanya isu kecil tetapi saya yang besarkan seolah saya yang memaksa. Adakah perkataan suami itu boleh dikira sebagai lafaz cerai Dan adakah telah jatuh talak ke atas saya walaupun suami tidak berniat untuk me ceraikan saya..terima kasih
Jawapan
Menjawab pertanyaan puan di atas, lafaz kinayah atau sindiran ialah setiap lafaz yang boleh membawa maksud talak ataupun pelbagai maksud yang lain selain daripada talak. Dan ia akan dirujuk kepada niat si suami ketika melafazkan perkataan tersebut. Jika berniat untuk mentalakkan isteri ketika melafazkan lafaz kinayah maka jatuhlah talak. Jika tidak berniat, maka talak tidak jatuh.
Lafaz "aku lepaskan kau", adalah termasuk dalam lafaz kinayah kerana perkataan "lepaskan" itu boleh membawa maksud talak dan juga boleh menbawa pelbagai maksud yang lain selain talak seperti lepaskan isteri pergi meninggalkan rumah, atau lepaskan perasaan kasih atau sayang terhadap isteri atau sebagainya. Oleh yang demikian jatuh atau tidak talak adalah tergantung kepada niat suami. Seandainya suami berniat talak, maka jatuhlah talak. Seandainya suami tidak berniat talak, maka talak tidak berlaku.
Dalam rumahtangga pasti ada perbagai ujian dan cabaran, walaupun ia besar atau kecil tetapi ia tetap menjadi cabaran yang perlu dihadapi oleh pasangan suami isteri. Oleh yang demikian, pasangan hendaklah sentiasa berusaha untuk menyemai sifat-sifat yang baik atau mahmudah, agar pasangan dapat berlapang dada, bertolak ansur, tenang ketika diuji, sabar ketika dicabar dan dapat sentiasa berbincang sesama pasangan dengan hikmah dan harmoni. Pasangan boleh juga mendapatkan khidmat nasihat atau rundingcara kekeluargaan di mana-mana Pejabat Agama Islam Daerah yang berhampiran dengan tempat tinggal puan dan tuan.
Sekian, terima kasih