Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ingin memohon penjelasan berkenaan pengiraan haid saya kerana saya berasa keliru memandangkan kitaran haid saya tidak teratur.
Maklumat haid:
Haid saya bermula pada 30 Jun sehingga 8 Julai.
Pada 14 hingga 15 Julai, saya mendapati terdapat darah keluar semula.
Sehubungan dengan itu, saya ingin mendapatkan penjelasan:
Adakah darah yang keluar pada 14 dan 15 Julai itu dikira sebagai darah istihadah?
Pada 14 Julai, saya telah berpuasa. Semasa waktu Asar, saya masih belum mendapati darah keluar. Namun begitu, setelah pulang ke rumah selepas azan Maghrib, saya dapati terdapat darah keluar. Dalam keadaan ini, adakah puasa saya pada 14 Julai dikira sah atau terbatal?
Bolehkah saya meneruskan puasa dan solat seperti biasa pada 15 Julai memandangkan keadaan tersebut?
Segala penjelasan amat saya hargai.
Sekian, terima kasih.
Waalaikumussalam.
Jawapan
Secara umumnya, sebanyak-banyak tempoh haid adalah 15 hari 15 malam. Jika darah yang keluar masih dalam tempoh ini, kesemua darah tersebut dianggap sebagai haid walaupun berlaku naqo’ (bersih daripada darah) menurut pendapat mu’tamad al-Sahbi iaitu dikira sebagai haid hukmi. Semasa naqo’ seseorang itu dianggap sebagai berhaid dengan syarat masa naqo’ tidak melebihi 15 hari yang berada di celah-celah darah haid iaitu darah yang pertama dan darah yang kedua dicampur dengan kiraan hari naqo’ adalah tidak melebihi 15 hari 15 malam maksimum haid. Ia berdasarkan kitab Dawabit Fanni al-Riyadhah fi Ahkam al-Haid wa al-Nifas wa al-Istihadhah:
Maksudnya: Dengan syarat bahawa darah yang pertama dan darah yang terakhir di dalam celahan masa 15 hari.
Adapun begitu, semasa naqo’ seseorang itu hendaklah mandi wajib, menunaikan solat dan sebagainya seperti wanita yang suci dari haid. Kerana tanggapan awal, haidnya telah berhenti. Jika darah yang datang semula dalam tempoh maksimum haid, maka semuanya dianggap sebagai haid, solat dan puasa semasa tempoh naqo’ tersebut dianggap sebagai tidak sah dan wajib qadha’ semula jika berada dalam bulan Ramadhan.
Menurut persoalan, diringkaskan seperti berikut:
30/6/2025 - 8/7/2025 (8 hari) - adalah darah haid
9/7/2025 - 13/8/2025 (4 hari) - adalah tempoh naqo’
14/7/2025 - 15/7/2025 (1 hari) - adalah haid, iaitu darah datang semula dalam tempoh maksimum haid.
Jadi, puasa yang dilakukan pada 14/7/2025 adalah dianggap tidak sah kerana masih dalam tempoh haid.
Sekian, terima kasih.