Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
ASSALAMMUALAIKUM. SAYA BARU MENDENGAR CERAMAH DI MANA JIKA HARI PERTAMA HINGGA HARI KETUJUH KITA DATANG HAID. HARI KELAPAN DAN KE SEMBILAN KITA BERSIH. HARI KESEPULUH HINGGA KESEBELAH DATANG PERIOD BALIK, KITA PERLU MENQODA PUASA JUGA UNTUK HARI KELAPAN DAN KESEMBILAN. UMUR SAYA DAH 43 TAHUN MACAM MANA YA PERKIRAAN UNTUK SAYA BAYAR FIDYAH UNTUK PUASA SAYA YANG DULU-DULU. HARAP PIHAK TUAN DAPAT BANTU SAYA. INI KERANA SAYA HANYA MENQODA PUASA MENGIKUT HARI YANG SAYA DATANG PERIOD SAHAJA. KEJADIAN INI BERLAKU BUKAN TIAP2 TAHUN. OLEH ITU MACAM MANA SAYA PERLU MENYELESAIKAN MASALAH INI TERUTAMA DARI SEGI FIDYAH DAN GANTI PUASA
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan:
Darah yang keluar dalam lingkungan tempoh 15 hari dikira masih dalam tempoh haid walaupun darah keluar tidak berterusan. Perlu dipastikan terlebih dahulu jumlah bilangan hari yang belum selesai qada’ puasa sehingga tahun semasa. Umpamanya jumlah tahun yang dicuaikan adalah 5 tahun (tahun 2016, 2019, 2020, 2021, 2024) dan setiap tahun 2 hari yang belum selesai ganti puasa Ramadan yang ditinggalkan. Ini bermakna jumlah hari yang perlu diqada’ dan dibayar fidyah adalah 10 hari. Sekiranya tidak mampu mengingat bilangan tahun secara tepat, cukup sekadar membuat anggaran pada sangkaan yang kuat.
Fidyah wajib dibayar bagi mereka yang meninggalkan puasa sama ada dengan sebab uzur syar'i atau tiada uzur syar'i, sekiranya bertemu dengan bulan Ramadhan yang baru dan puasa itu tidak diqada. Seandainya meninggalkan puasa dengan sebab uzur syar'i diwajibkan membayar fidyah, maka lebih utama diwajibkan membayar fidyah jika meninggalkan puasa dengan sengaja tanpa ada keuzuran.
Berdasarkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (FATWA) Negeri Selangor Bil. 1/2001 pada 16 Januari 2001, memutuskan bahawa fidyah boleh dibayar dengan dua cara:
i. Gandakan fidyah dan kafarah mengikut tahun.
ii. Tidak digandakan kadar pembayaran fidyah dan kafarah.
Saudari boleh membuat pembayaran fidyah, dengan memilih untuk membuat bayaran secara berganda atau tidak, kepada Lembaga Zakat Selangor di laman web berikut: https://fpx.zakatselangor.com.my/
Bayaran fidyah secara berganda bagi yang berkemampuan adalah suatu saranan yang digalakkan dan bukan suatu kewajipan. Berkemampuan bermaksud tidak membebankan atau menyebabkan saudari dalam keadaan menyusahkan sekiranya membayar secara berganda.
Sekian, terima kasih