Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum, suami saya telah berlaku curang. Saya tidak menuduhnya berzina tetapi saya lihat sendiri dengan mata saya bahawa suami berada di dalam rumah seorang janda. Mereka juga telah kantoi bermsg mesra, rakaman suara mesra di dash cam serta booking hotel bersama. Perkara ini telah membuatkan isteri di sahkan mengalami kesihatan mental (MDD). Isteri amik keputusan memberitahu mentua kerana segala nasihat tidak lagi didengar suaminya malah kerap dihina kerana gagal memberikan apa yang janda tersebut berikan iaitu pangkat. Niat isteri adalah untuk pihak mentua menasihati anaknya sebagai orang tuanya kerana itu adalah satu-satunya cara yang terbaik yang tinggal selepas suami makin kerap tidak pulang kerumah. Malah niat mentua untuk berbincang dengannya dipatahkan dengan suami sendiri taknak berbincang dan memilih tidur dihotel dengan janda tersebut dari kerumah ibubapanya (dari booking hotel pada tarikh tersebut).
rentetan dari peristiwa itu, suami kerap berkata yang dia tak redha kepada isterinya, hanya kerana memberitahu keluarganya dan menuduh isterinya punca keretakkan hubungan suami dan ibubapanya sedangkan ibunya memberitahu bahawa suami sendiri taknak angkat telefon jika dihubungi untuk pulihkan keadaan semula.
soalan saya, adakah isteri berdosa jika meminta nasihat daripada mentua setelah segala usaha dilakukan untuk menyelamatkan rumah tangga dilakukan? Dan adakah suami boleh berkata beliau tidak redha kepada isteri hanya kerana mengadu beliau curang dan gagal lalukan tanggungjawab secara zahir dan batin?
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Isteri tidak menanggung dosa apabila mendapatkan nasihat atau bantuan daripada mertua, kerana langkah itu adalah salah satu ikhtiar yang dibenarkan untuk menyelamatkan rumah tangga setelah segala usaha menasihati suami secara langsung tidak lagi berkesan. Malah, Islam menetapkan panduan bahawa jika timbul perselisihan antara suami isteri, maka wajar dilantik orang tengah daripada kedua-dua belah keluarga untuk mencari jalan damai sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Nisa’ ayat ke-35:
Maksudnya: Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah "orang tengah" (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua "orang tengah" itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuanNya.
Oleh itu, tindakan isteri merujuk kepada mertua tidak boleh dianggap membuka aib, sebaliknya ia adalah usaha mencari penyelesaian yang selaras dengan tuntutan syarak. Adapun kata-kata suami yang menyatakan dirinya tidak redha hanya kerana isteri menegur kesilapan atau melaporkan kecurangan, ia tidak memberi kesan terhadap kedudukan isteri di sisi Allah. Ini kerana keredhaan seorang suami hendaklah berlandaskan kebenaran dan hukum syarak, bukan pada perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam atau yang bersifat zalim. Hakikatnya, seorang suami wajib menunaikan tanggungjawab zahir dan batin terhadap isterinya kerana ia adalah amanah besar yang dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT.
Sekian, terima kasih.