Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Bolehkah mengadakan majlis pernikahan anak sekiranya ibu dalam tempoh iddah kematian suami?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, wanita yang kematian suami dibolehkan keluar rumah jika ada keperluan dengan syarat mereka dapat menjaga peraturan dan adab-adab seperti yang disyariatkan oleh Islam. Antara keperluan penting yang membolehkan wanita yang beriddah kerana kematian suami keluar rumah adalah untuk mendapatkan rawatan, mendapatkan barangan keperluan asas atau keluar sekiranya terdapat ancaman terhadap nyawa atau harta. Hal ini juga termasuk kebenaran keluar bekerja bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pekerja. Maka, wajar dalam keadaan memerlukan ini wanita yang beriddah kerana kematian suami keluar bekerja atau berniaga untuk meneruskan kehidupan.
Adapun menghadiri majlis pernikahan anak bukanlah suatu keadaan darurat yang membenarkan seseorang balu untuk keluar rumah. Pernikahan anak tetap berjalan biarpun ketidakhadiran ibu. Sebagai alternatif, boleh membuat siaran langsung video untuk tontonan ibu bagi menyaksikan majlis pernikahan anak. Dengan doa dan restu ibu mudah-mudahan majlis berjalan lancar dan kehidupan berumahtangga diberkati Allah SWT.
Sekian, terima kasih.