Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt Tuan/Puan,
Saya merupakan pelajar universiti Malaya yang akan bertolak ke Beijing, China pada 22 November 2025 dimana kapal terbang akan berlepas pada pukul 6.55 petang dan dijangka tiba pada 1.15 pagi (China). Insyaallah kami akan bertolak pulang pada 1 Disember 2025, tepat pukul 12.30 malam daripada Xi'an,China ke lapangan terbang Kuala Lumpur yang dijangka tiba pada 6.15 pagi.
Oleh itu, tujuan saya menulis adalah untuk bertanyakan beberapa soalan seperti berikut:
1. Bilakah dan dimanakah kami perlu mula berniat jamak dan qasar? Sebaik sahaja keluar dari kawasan kami atau sebelum menaiki kapal terbang?
2. Saya ada baca bahawa jamak dan qasar dibenarkan hanya jika kami bermusafir tidak melebihi 3 ke 4 hari. Bagaimana dengan kami yang akan bermusafir sehingga 10 hari. Saya kurang faham hal tersebut.
3. Selepas berada di Bejing selama beberapa hari, kami akan bertolak ke daerah lain iaitu di Xi'an dimana setelah kami kaji, waktu solat di Beijing dan Xi'an berbeza dalam setengah jam. Adakah ini akan menjejaskan solat jamak qasar yang kami mungkin akan lakukan semasa di Beijing?
4. Bilakah tempoh jamak dan qasar kami akan tamat? Adakah sebaik sahaja kami berlepas pulang ke Malaysia?
Kesimpulannya, saya ingin mempelajari solat jamak dan qasar yang benar semasa bermusafir. Diharap pihak Tuan/Puan dapat memberi panduan dan tunjuk ajar kepada kami. Jika terdapat ilmu lain yang saya perlu tahu tetapi saya tidak bertanya, harap dapat diperjelaskan oleh pihak Tuan/Puan.
Sekian, terima kasih.
Jawapan
Sebelum menjawab soalan yang diajukan, perlu kita faham sedikit terlebih dahulu berkenaan permasalahan qasar dan jamak. Qasar dan jamak adalah dua perkara berbeza. Tetapi kedua-duanya boleh dilakukan apabila bermusafir. Qasar adalah memendekkan solat yang 4 rakaat kepada 2 rakaat. Manakala jamak adalah menggabungkan dua waktu solat fardu dalam satu waktu.
Apabila seseorang bermusafir dan melebihi dua marhalah (81 KM) maka dia telah mendapat kelonggaran untuk melakukan qasar dan jamak. Sepanjang perjalanan ketika bermusafir menuju ke destinasi atau dalam perjalanan pulang adalah dibenarkan untuk melakukan qasar dan jamak.
Manakala apabila telah tiba di destinasi terdapat perincian yang perlu diteliti. Apabila seseorang telah sampai di destinasi dan telah tahu iaitu berniat menetap tiga hari atau kurang daripada tiga hari tidak termasuk hari sampai dan hari keluar daripada tempat tersebut, maka sepanjang menetap di tempat tersebut boleh melakukan qasar dan jamak kerana belum dikira bermukim dan masih dikira bermusafir. Apabila seseorang telah sampai di destinasi dan telah tahu (berniat) menetap lebih daripada tiga hari, maka tidak boleh dilakukan solat qasar dan jamak kerana telah dikira bermukim. Had hari menetap yang dibenarkan untuk qasar dan jamak adalah sebanyak tiga hari (tidak termasuk hari perjalanan pergi dan pulang).
Bagi menjawab soalan yang diajukan:
1. Perlu bezakan niat musafir dan niat jamak dan qasar. Niat musafir boleh dilakukan bermula hendak mulakan perjalanan. Niat jamak dan qasar mesti dilakukan ketika takbiratul ihram untuk menunaikan solat. Adapun permulaan boleh melaksanakan solat jamak dan qasar apabila telah keluar daripada sempadan qaryah.
2. Jika dalam tempoh 10 hari bermusafir itu tidak menetap di satu-satu tempat lebih 3 hari, maka sepanjang 10 hari tersebut boleh melakukan jamak dan qasar kerana dikira masih bermusafir. Ini juga kerana dalam tempoh 10 tersebut sentiasa bergerak dari satu tempat ke tempat lain.
3. Melihat kepada situasi dan perbezaan 30 minit antara Beijing dan Xian tidaklah memberikan kesan yang ketara pada solat jamak dan qasar. Boleh melakukan solat jamak dan qasar seperti biasa.
4. Tempoh musafir akan tamat apabila mula menetap di satu-satu tempat lebih daripada 3 hari tidak termasuk hari sampai atau hari keluar atau sampai qaryah tempay dia menetap. Tamat musafir maka tidak boleh lagi solat jamak dan qasar.
Sekian, terima kasih.