BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assamualaikum WBT

Semasa saya jahil dulu, saya memang solat 5 waktu tetapi dalam keadaan cepat. Cepat tu bermakna belakang saya tak cukup rata masa rukuk atau berdiri tak cukup tegak semasa iktidal dan terus ke posisi solat seterusnya. Ada dengar ustaz cerita kisah seorang lelaki yang solat tanpa tomakninah. Rasulullah SAW tengok dan arahkan lelaki tu solat semula sampailah 3 kali baru laki tu kata setakat tu shaja dia tahu. 

 

Jadi persoalannya. Untuk solat2 saya yang terdahulu semasa saya jahil tu.

1.Adakah saya perlu qada balik solat2 itu kerana solat itu tidak sah? 

2.jika ya, Adakah juga dibenarkan untuk solat sunat lain semasa tempoh itu? Seperti solat sunat fajar, duha, tahyatul masjid atau gerhana? Sebab solat sunat tersebut biasanya bergantung pada waktu atau tempat, sesetengah berlaku dgn sangat jarang seperti sunat gerhana. 

Terima kasih kepada pihak tuan/puan


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد    

Tomakninah merupakan rukun solat yang wajib disempurnakan oleh setiap orang yang solat bagi memastikan solat tersebut sah. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa pada suatu ketika Rasulullah SAW telah masuk ke dalam masjid lalu masuk seorang lelaki dan lantas melakukan solat dengan tergesa-gesa tanpa tomakninah. Selepas solat lelaki itu memberi salam kepada Nabi SAW lalu Nabi SAW membalas salamnya dan menyuruhnya mengulang kembali solatnya. Perkara yang sama berulang sehingga tiga kali.

Lalu lelaki itu berkata; Demi tuhan (Allah) yang mengutuskan kamu dengan kebenaran, aku tidak tahu solat yang lebih baik melainkan apa yang engkau lihat dariku. Maka ajarkanlah aku; Rasulullah SAW bersabda;

إذَا قُمْتَ إلى الصَّلَاةِ فَكَبِّرْ، ثُمَّ اقْرَأْ ما تَيَسَّرَ معكَ مِنَ القُرْآنِ، ثُمَّ ارْكَعْ حتَّى تَطْمَئِنَّ رَاكِعًا، ثُمَّ ارْفَعْ حتَّى تَعْدِلَ قَائِمًا، ثُمَّ اسْجُدْ حتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا، ثُمَّ ارْفَعْ حتَّى تَطْمَئِنَّ جَالِسًا، وافْعَلْ ذلكَ في صَلَاتِكَ كُلِّهَا

Maksudya: Apabila kamu bangun untuk solat maka bertakbirlah, kemudian bacalah apa yang mudah untuk kamu dari ayat al-Quran, kemudian rukuklah sehingga tomakninah, kemudian bangunlah iktidal, kemudian sujudlah sehingga tomakninah kemudian bangunlah darinya (duduk antara dua sujud) berserta tomakninah dan buatlah begitu dalam solat keseluruhannya. (Riwayat al-Bukhari)

Dalam riwayat yang lain, Abu Qatadah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda;

أسوأُ الناس سَرِقةً الذي يسرق من صلاتِه، قالوا: يا رسول الله، كيف يسرِقُ من صلاتِه؟ قال: لا يتِمُّ ركوعَها ولا سُجودَها، أو لا يقيمُ صُلبَه في الركوع ولا في السُّجود

Maksudnya: Seburuk-buruk pencuri adalah mereka yang mencuri sesuatu dari solatnya. Para sahabat bertanya "Wahai Rasulullah, bagaimana seseorang boleh mencuri sesuatu dari solatnya? Rasulullah SAW bersabda; "Apabila dia tidak menyempurnakan rukuk, sujud atau tidak meratakan tulang belakangnya ketika rukuk dan ketika sujud. (Riwayat Ahmad)

Hadis ini menunjukkan bahawa tomakninah adalah salah satu rukun solat yang wajib. Jika tidak dilaksanakan, solat tidak sah.

Merujuk kepada persoalan yang diajukan berkenaan solat fardu dan sunat yang terdahulu, sekiranya solat dilaksanakan tanpa tomakninah kerana kejahilan, maka solat tersebut tidak sah pada asalnya. Namun begitu, perbuatan itu dimaafkan oleh syarak kerana dilakukan dalam keadaan tidak mengetahui hukum. Maka, tidak diwajibkan qada’ atas solat-solat yang telah berlalu.

Apa yang perlu dilakukan ialah berazam untuk memperbaiki solat pada masa hadapan dengan memastikan rukunnya disempurnakan, khususnya rukun tomakninah.

والله أعلم بالصواب

Sekian terima kasih


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 25

message user image