BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Salam ustaz / ustazah

Soalan 1

8 tahun yang lalu saya dan anak anak telah melakukan ibadah umrah. Setiap kali mengerjakan umrah samada tawaf dan saie dan setiap kali masuk ke dalam masjidil haram kami akan sentiasa menggalas sepatu yang kami masuk kan kedalam uncang. Maksudnya kami akan sentiasa membawa sepatu dalam uncang ke mana mana kami pergi ketika di dalam masjid sepanjang kami di Mekah. Setiap kali sebelum memasukkan sepatu ke dalam uncang kasut, kami akan pastikan sepatu kami tiada kesan najis dari segi bau, warna dan rasa. Kami yakin dan tiada rasa was was setiap kali kami memeriksa sepatu kami ketika itu, maka kami tidak pernah membasuh sepatu kami setiap kali melakukan umrah atau masuk ke dalam masjidil haram.

Dari masa ke semasa saya masih lagi dalam proses mendalami ilmu umrah dan haji untuk persiapan saya untuk menunaikan ibadah haji, Insya Allah. Tetapi semakin saya belajar semakin banyak perkara was was mula timbul dalam diri saya.

Baru baru ini timbul perasaan was was dan kerisauan kerana saya teringat yang sepatu yang kami pakai, sepatu yang baru tetapi kami mula memakai sepatu bermula dari keluar rumah dari Malaysia sehinggalah terus masuk ke Mekah. Dalam tempoh tersebut kami telah memakai sepatu tersebut ke merata rata tempat sepanjang perjalanan termasuk lah ketika ke tandas.Ada juga tandas yang agak kotor.

Apakah status umrah kami.

Soalan 2

Saya juga ada memakai deodoran tanpa pewangi selepas mandi sunat ihram. Ketika itu saya tidak tahu deodoran tidak boleh di pakai di dalam ihram walaupun tiada sebarang bau. Yang saya faham ketika itu tidak boleh memakai wangi wangian. Selepas berniat ihram saya tidak pasti samada saya ada memakai nya atau pun tidak kerana kejadian berlaku sudah terlalu lama (mungkin ada pakai satu kali). Saya sudah melaku kan umrah 5 kali ketika itu. Jika saya di kena kan dam apakah dam nya dan adakah saya perlu membayar 5 kali ganda.

Mohon pencerahan dari ustaz / ustazah dan di duhului dengan ucapan terima kasih.

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته     

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين، أما بعد

Ibadah umrah mengandungi beberapa rukun yang disyaratkan padanya suci daripada najis dan hadas. Berhubung dengan membawa sepatu dalam sarung atau uncang ketika menunaikan umrah, perkara tersebut tidak memberi kesan pada ibadah umrah yang dilakukan sekiranya sepatu yang dibawa adalah suci. Apabila puan sudah yakin dengan kesucian sepatu yang dibawa dengan memastikan tiada kesan najis padanya, maka was-was yang datang selepas itu tidak memberi kesan kepada keyakinan bahawa sepatu itu adalah suci. Ini berdasarkan kepada kaedah yang menyebut:

اليَقِينُ لَا يَزُولُ بِالشَّكّ

Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan(syak). 

Berkenaan soalan yang kedua, memakai deodoran yang tiada bau wangi dan sebelum berniat umrah tidak menjejaskan ibadah umrah. Adalah amat penting untuk seseorang mendalami tatacara dan larangan umrah sebelum melakukannya bagi memastikan ibadah tersebut dapat dilakukan sebaiknya. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 38

message user image