Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz/ustazah, di rumah saya ada sebotol syampu yang hanya digunakan oleh ahli keluarga saya sehingga habis, dan saya baru tahu bahawa syampu tersebut mengandungi kolagen babi setelah saya sentuh bahagian luar bekas tersebut dalam keadaan basah (namun tidak menggunakannya kerana hanya untuk periksa bahan kandungannya sahaja). Adakah saya harus menyertu tangan dan benda lain yang saya sudah pegang setelah bekas syampu tersebut?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, sesuatu daripada anggota tubuh babi dan apa yang diambil daripadanya seperti tulang, kulit, minyak, kolagen dan sebagainya dihukumkan sebagai najis mughallazah. Justeru, jika bahan tersebut digunakan dalam sesuatu produk, maka produk berkenaan juga dikira najis.
Walau bagaimanapun, sekiranya puan hanya menyentuh bahagian luar bekas syampu tersebut tanpa terdapat cecair syampu yang mengenainya, maka tidak ada masalah dan tidak perlu menyertu tangan serta benda lain yang dipegang selepas itu.
Sekian, terima kasih.