BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wrt wbt ustaz,

Saya ingin bertanya berkenaan hukum jamak dan qasar solat bagi pasangan suami isteri jarak jauh (pjj).

Saya (suami) tinggal di rumah sewa Kuala Lumpur manakala isteri di rumah sewa Sungai Besar, Selangor. Jarak antara kedua-dua rumah kami melebihi 2 marhalah (120 km). Setiap hujung minggu kami bergilir bermalam 2 hari di rumah pasangan masing-masing.

Soalan saya:

1. Adakah saya boleh jamak dan qasar ketika berada di rumah isteri di Sungai Besar?

2. Adakah isteri boleh jamak dan qasar ketika berada di rumah saya di Kuala Lumpur?

Kedua-dua rumah hanya sewaan sementara dan ada kemungkinan akan berpindah lagi dalam tempoh 2-3 tahun akan datang ke tempat lain seperti Shah Alam. Kami juga masing-masing mempunyai rumah ibu bapa di Kelantan dan ada perancangan untuk berpindah semula ke Kelantan selepas lebih kurang 15-20 tahun di Kuala Lumpur/Selangor.

Mohon pencerahan ustaz.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.

Terlebih dahulu perlu difahami bahawa mastautin ialah tempat menetap secara kekal dan tidak berpindah melainkan jika berpindah ke mastautin yang baharu. Manakala tempat bermukim pula merujuk kepada tempat tinggal sementara melebihi tiga hari, tidak termasuk hari tiba dan hari pulang, dengan syarat tidak berniat untuk menetap di situ secara kekal.

Berdasarkan definisi ini, tuan dan isteri dikira sebagai muqim di rumah sewa yang didiami kerana ia tidak diniatkan sebagai kediaman tetap. Justeru, seseorang yang bermukim dibolehkan mengerjakan solat jamak dan qasar di sesuatu tempat selagi tidak berniat bermukim melebihi tiga hari, tidak termasuk hari pergi dan hari pulang.

Dalam situasi ini, tuan diharuskan mengerjakan solat jamak dan qasar ketika berada di rumah sewa isteri, selagi tempoh tinggal tidak melebihi tiga hari. Namun, sekiranya tuan berniat untuk menetap di sana melebihi tiga hari, maka hukum jamak dan qasar tidak lagi dibolehkan sebaik sahaja tiba di rumah isteri. Ketetapan hukum ini juga terpakai kepada isteri tuan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 31

message user image