Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Jika saya rukuk, sempat saja tomakninah. Akan tetapi ketika di hujung bacaan itu saya sudah bangon. Seperti "hamidah" Dan bangon dari sujud serentak. Sah tak solat saya kerana di hujung bacaan itu saya baca segerak yakni sambil bangun dari rukuk untuk tomakninah. Saya selalu berbuat demikian ketika ingin ringkaskan solat
Jawapan
Perbuatan i’tidal dalam solat merupakan rukun yang disepakati para ulama. Manakala hukum membaca tasmi’ dan tahmid ketika i’tidal adalah sunat menurut pandangan jumhur ulama sebagaimana bacaan zikir-zikir dalam solat yang lain. Hal ini adalah berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: …... Kemudian lelaki itu berkata, Demi Tuhan yang mengutusmu, aku tidak tahu cara solat selain ini, maka ajarkanlah aku. Sabda baginda, Jika engkau mahu mulakan solat, maka bertakbirlah (takbiratul ihram). Kemudian bacalah apa yang mudah bagimu daripada al-Quran (surah al-Fatihah). Kemudian rukuk dan berhenti seketika ketika sedang rukuk. Kemudian berdiri sehingga tegak. Kemudian sujud dan berhenti seketika ketika sedang sujud. Kemudian duduk dan berhenti seketika ketika sedang duduk. Buatlah sedemikian untuk setiap solatmu.
(Riwayat al-Bukhari).
Merujuk soalan yang diajukan, solat masih dikira sah. Hukum membaca tasmi’ dan tahmid ketika i’tidal adalah sunat di sisi jumhur ulama sebagaimana sunatnya bacaan zikir-zikir lain dalam solat. Namun, dianjurkan untuk rukuk dalam keadaan tomakninah dan bacaan zikir solat pada tempatnya bagi mencapai solat yang lebih khusyuk.
Sekian, terima kasih