Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya bernazar untuk berhenti kerja, setelah ayah saya sembuh dari excident. akan tetapi keluarga tidak mengizinkan dan beberapa faktor lain seperti memerlukan kewangan untuk menjaga ayah yang masih memerlukan rawatan dan kos kos perubatan lain lain.
jika saya tidak membuat nazar itu adakah berdosa ? atau saya boleh menebusnya dengan cara yang lain.
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Nazar adalah mewajibkan ke atas diri sendiri perbuatan qurbah (mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak ditentukan dalam syarak, sama ada secara mutlak ataupun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara.
Hukum melunaskan nazar adalah WAJIB sebagaimana hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia melaksanakan ketaatan itu, dan barangsiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat maka janganlah dia melakukan maksiat itu. (Riwayat al-Bukhari)
Berbalik kepada persoalan, keadaan tersebut tidak dianggap sebagai nazar kerana ia bukan daripada perkara yang dilakukan untuk tujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Oleh itu, nazar tidak berlaku dan tidak perlu melunaskan kaffarah. Apabila difahami bahawa nazar tidak berlaku maka ia juga tidak menghalang puan untuk bekerja.
Adalah dinasihatkan agar tidak bernazar dengan sesuatu perkara yang akan memberatkan diri sendiri. Ini kerana Rasulullah SAW pernah bersabda:
Maksudnya: Janganlah kamu untuk bernazar (dengan sesuka hati), kerana sesungguhnya nazar tidak akan mengubah daripada takdir yang telah ditentukan Allah SWT sedikitpun. Hanyasanya ia dikeluarkan daripada orang yang bakhil. (Riwayat Muslim)
Sekian, terima kasih.