Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum..Saya ingin mengajukan soalan tentang nazar..kalau saya dah bernazar di Whatsapp secara bertulis..adakah sah nazar saya itu?..contohnya, jika saya sudah cukup wang Rm 10,000 , saya akan berikan Rm 500 kepada seseorang itu..dan satu soalan lagi, jika saya sudah ada Rm 10,000 itu tapi saya tak mahu tunaikan nazar dan melakukan kafarah nazar..adakah diperbolehkan?..Terima kasih..
Jawapan
Pada asasnya, nazar bermaksud membuat iltizam kepada diri sendiri untuk melakukan sesuatu kebajikan atau ibadah dengan niat taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah, yang pada asalnya tidak wajib dari segi syarak, sama ada secara muqayyad (dikaitkan dengan sesuatu) ataupun mutlaq (tidak dikaitkan dengan sesuatu).
Allah SWT telah berfirman dalam surah al-Hajj ayat 29:
Maksudnya: Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya, dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.
Merujuk kepada soalan yang diajukan, nazar yang dilakukan secara bertulis adalah sah dalam Islam jika ia memenuhi syarat-syarat sah nazar antaranya mempunyai niat dan yakin mampu untuk menunaikan nazar tersebut semasa menulisnya dan bukan dinazarkan pada perkara maksiat.
Jika wang RM10,000 sudah diperoleh tetapi tidak mahu tunaikan nazar, bolehkah bayar kafarah sebagai ganti?
Jawapan: Tidak boleh bayar kafarah secara pilihan. Wajib tunaikan nazar.
Dalam mazhab Syafi‘i, apabila seseorang telah bernazar dan syaratnya telah berlaku, maka dia wajib menunaikan nazar itu. Dalam erti kata lain, tidak boleh menukar sesuatu nazar kepada niat yang lain atau hanya memilih membayar kafarah bagi mengelakkan melaksanakan niat nazar yang asal.
Sekian, terima kasih.