BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

assalamualaikum, 

saya ada kemungkinan masalah kencing tak lawas sebelum ini dan selalunya setiap kali saya kencing,saya akan mandi untuk elakkan tak lawas dan supaya ia nya keluar awal. Apa yang berlaku kepada saya ialah setiap selepas kencing jika saya buat pergerakan seperti  duduk,rukuk,sujud ia akan rasa keluar   oleh itu saya akan mandi setiap kali selepas kencing untuk buang dulu. dan kadang mungkin ada juga keluar air kencing. 

1)adakah ia dikira kencing tak lawas?

SITUASI 1

pada suatu hari saya dapati ada rasa cecair yang keluar pada kemaluan dan sewaktu itu saya baru sahaja lepas mandi dan saya cek dan sayan nampak cecair jernih. namun saya abaikan kerana saya fikir saya lepas mandi jadi bukan air kencing atau hanya air mandian sahaja. jadi saya abaikan dan pakai seluar tanpa seluar dalam. saya tidur di atas sofa.selapa saya bangun tidur saya jadi was was adakah ianya najis kencing dan Bagaimana dengan saya punya sofa adakah ia najis?saya tidak nampak warna,rasa akan tetapi saya tidak cuba bau dengan dekat.kalau lalu macam biasa dari jauh memang tiada bau.

2)adakah sofa,bantal itu bernajis?bagaimana pula dengan tombol pintu,suis,remote kipas dan aircond,pintu almari pintu tandas suis tandas, telefon dan saya tak ingat dah saya pegang dalam keadaan basah atau dalam situasi lain kerana ia telah berlaku lama.dan jikalau ianya bernajis saya telah lap guna tisu basah (bukan air mutlak) dan diikuti tisu kering pada tombol pintu,suis,remote kipas dan aircond,pintu almari pintu tandas suis.saya dapat tahu bahawa cara saya tidak sah dan suci.Serta tempat yang saya senaraikan tiada warna bentuk namun bau saya tak pasti dan saya rasa tiada bau.

 

3)Jikalau tempat itu sememangnya bernajis dan saya telah lap dengan cara yang salah kerana tidak tahu.Apakah status tempat itu?Adakah saya perlu cuci semula?

4)tisu yang saya lap tu saya buang di tong sampah berjaring bersebelahan dinding dan laci katil.jadi saya khawatir jika ia telah terkena pada dinding dan katil.jadi apakah statusnya?namun jika barang tadi tidak dianggap najis maka tisu itu juga bukan najis la kan?

SITUASI 2

saya dapati bahawa air telah keluar dari pintu tandas akibat semburan cuci pintu tanda dan terkena taik cicak. air itu juga terkena pada wayar dan hose vakum.Adakah air itu telah najis?Saya juga telah ambil tisu kering dan lap kawasan tersebut.dan saya ambil tisu basah yang dibasahkan air mutlak dilap sebanyak dua kali.saya dapati cara itu salah selepas 15-60 minit selepas itu.

5)apakah status kawasan itu selepas saya tahu caranya salah?adakah saya perlu ulang cucian semula Atau saya boleh terus semburkan air mutlak je sebab tiada bau warna dan rasa?

SITUASI 3

Saya pergi ke bilik air basub tangan dan duduk di atas sejadah dan tangan saya terkena benda seperti najis cicak dan saya pun taktahu sewaktu mahu letak tangan.Apabila saya lihat saya dapati benda itu sudah hancur berkecai.Jadi apakah ia dikira najis cicak?kalau tengok dari segi kehancuran tu pun macam taik cicak tapi tak tahu lah sebab saya tak nampak bentuk macam asal?adakah ia dikira taik cicak dan perlu disucikan.dan jika ianya taik cicak saya telah cuci cara salah sama iaitu angkat sejadah dan vakum sahaja lantai kerana saya nampak kering sahaja kecuali sejadah saya basuh kerana terkena waktu tangan basah. saya terkena dua benda pada hari yang sama iaitu situasi 2 dan situasi 3.

6) ADAKAH LANTAI ITU DIKIRA SUCI ATAU TIDAK SUCI?INI KERANA TAKUT BERLAKU PENYEBARAN SEWAKTU SAYA TIDUR DI ATAS LANTAI DAN PADA WAKTU ITU LANTAI KERING  BAJU KERING NAMUN HUJUNG SELUAR KAKI KEMUNGKINAN KERING LEMBAP ATAU PERASAAN SAYA KERANA SEJUK.KEPALA SAYA JUGA BERALASKAN BAJU YANG LEMBAP DI ATAS LANTAI YANG TAHI CICAK SAYA VAKUM DAN SELEPAS ITU SAYA NAIK TIDUR ATAS KATIL.JADI ADAKAH LANTAI ITU SEBENARNYA SUCI ATAU TIDAK?

7)Sekiranya ia bernajis,Saya terus memasukkan cadar sarung bantal saya dan selimut saya kedalam mesin basuh automatik tanpa bilas air biasa..ADAKAH SUCI CADAR SELIMUT DAN SARUNG BANTAL TANPA BILASAN DAN HANYA SEMATA MATA MASUK DALAM MESIN BASUH?

8)Jika bernajis bagaimana nak cuci mesin basuh tu???

SITUASI 4

Saya dapati air wadi/mazi kerap keluar tiada rangsangan atau lakukan apa apa.pada satu hari,saya cek dapati ianya keluar dan saya masuk bilik duduk atas katil cek lagi sekali.selepas itu saya masuk mandi dan selepas keluar saya nampak ada setompok kecil putih terang di tempat saya duduk atas katil tadi.saya cuba bau tapi tiada bau. dan ianya telah kering mcm keras sikit.

9)Adakah kita perlu yakin ianya najis?

10)Jika ianya najis saya cuci dengan tisu dibasakan air mutlak sekali dan diikuti tisu kering atas cadar itu.saya juga baru tahu caranya salah.adakah saya perlu sucikan lagi?saya juga terus masukkan cadar ke dalam mesin basuh automatik tanpa bilas dengan air biasa?suci ke?

11)Bagaimana pula dengan tilam di bawahnya dihukum suci atau najis dan sekiranya najis bagaimana cara sucikannya

12)Jika ia tidak hukum najis maka tak perlu khawatir lagi la kan?

 

saya sangat penat dengan kesucian ni sampai kadang tidak makan dan tidur dan risau solat tak diterima dan ibadah lain tidak diterima serta menyebarkan najis ke merata tempat

Saya Mohon Bantuan Untuk Kesemua Soalan Saya Ajukan ini dibalas SATU PERSATU supaya jelas DAN DIBALAS SECEPAT MUNGKIN

TERIMA KASIH BANYAK


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, dalam situasi ini, terdapat beberapa perkara yang perlu diperjelaskan:

1) Adakah ia dikira kencing tak lawas?

Ya, keadaan anda menunjukkan simptom kencing tak lawas (salisul baul). Bila ada rasa seperti air kencing keluar semasa pergerakan selepas buang air kecil, itu tanda kencing belum keluar habis. Dalam fiqh, orang yang mengalami keadaan ini boleh dikira sebagai mu‘zar (berpenyakit) jika ia berlaku berterusan dalam tempoh waktu solat. Maka dibolehkan:

  • Pastikan masuk waktu solat.

  • Pastikan pakaian dan badan suci daripada najis.

  • Tutup lubang kencing dengan kapas, tisu yang bersih

  • Berwuduk dan

  • Solat seperti biasa.

Solat hanya sah bagi satu solat fardhu dan beberapa amalan sunat. Walaupun ada keluar cecair selepas itu maka ia dimaafkan. Mandi setiap kali buang air kecil adalah tidak perlu dan membebankan, malah boleh menyebabkan was-was yang makin teruk.


SITUASI 1

2) Adakah sofa, bantal itu bernajis?

Tidak. Selagi tidak yakin bahawa cecair yang keluar itu air kencing, maka tidak wajib anggap najis. Cecair jernih selepas mandi kemungkinan air mandian atau air mazi, dan kedua-duanya tidak berbau kuat. Jika tiada bau, tiada warna, tiada rasa, dan anda tidak yakin itu najis, maka statusnya suci. Jangan ulang periksa terlalu banyak kali — itu tanda was-was yang perlu dilawan.

3) Jika tempat itu bernajis dan saya lap cara salah tanpa tahu, adakah perlu cuci semula?

Tidak perlu. Dalam Islam, orang yang tidak tahu tidak berdosa dan tindakan mereka dimaafkan. Jika najis telah dilap dan kering, dan tidak nampak kesan, status kembali kepada suci. Islam sangat mudah dalam hal ini.

4) Status dinding/laci jika tisu najis buang di tong sampah?

Jika anda tidak pasti ada terkena atau tidak, dan tiada kesan yang jelas, semuanya dianggap suci. Prinsip Islam:

اليقين لا يزول بالشك 

Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan(syak).

SITUASI 2

5) Status kawasan terkena air semburan dan najis cicak?

Jika air terkena najis cicak, memang boleh jadi najis jika ada kesan bau, warna atau rasa. Tapi bila anda lap dengan tisu basah air mutlak dua kali, itu sudah dikira menyucikan, kerana:

  • Sudah kena air mutlak, dan

  • Tiada lagi kesan najis.

Kalaupun cara itu bukan standard, tapi cukup untuk hilang najis dan suci kawasan itu.


SITUASI 3

6) Status lantai terkena tangan yang mungkin najis cicak?

Kalau tidak yakin itu najis dan ia kekeringan, maka tidak dihukum najis. Lagipun, anda sudah vakum lantai — walaupun itu bukan cara menyuci najis, tapi jika tidak nampak kesan najis dan yakin sudah bersih secara zahir, maka lantai itu dikira suci.

Jadi:

  • Seluar, baju, kepala, cadar, katil: semuanya suci.

  • Jangan ulang cucian tanpa bukti jelas najis.


7) Jika najis, dan terus masuk mesin basuh tanpa bilas — adakah suci?

Jika mesin basuh jenis automatik dan bilasan akhir adalah dengan air bersih (air mutlak), maka pakaian dikira suci, walaupun tanpa bilasan awal secara manual.


8) Jika najis masuk mesin basuh — bagaimana nak cuci mesin basuh?

Tak perlu cuci mesin basuh. Kenapa? Kerana:

  • Najis larut dalam air.

  • Bilasan terakhir dengan air bersih menghilangkan najis.

Mesin basuh automatik tidak dianggap najis walaupun dimasukkan pakaian bernajis.


SITUASI 4

9) Adakah perlu yakin itu najis?

Ya. Islam tidak hukum sesuatu sebagai najis kecuali ada yakin. Kalau hanya setompok putih terang, tiada bau, tiada kepastian, maka statusnya suci. Jangan hukum najis tanpa bukti jelas.

10) Jika cuci dengan cara salah (tisu basah & kering), adakah suci?

Jika najis sudah hilang secara zahir (warna, bau, rasa), dan dilap dengan air mutlak, maka sudah suci. Tak perlu ulang cucian.

Cadar yang masuk mesin basuh automatik juga: dihukum suci.


11) Tilam — suci atau najis?

Jika kesan tidak tembus atau kekal di atas cadar, dan tiada bukti sampai ke tilam, maka tilam dikira suci.

Kalau nak cuci tilam juga, cukup dengan:

  • Lap kawasan terkena najis dengan air mutlak sampai hilang najis zahir.


12) Jika bukan najis, maka tak perlu risau lagi?

Betul. Kalau anda tidak yakin itu najis, maka hukum asal ialah suci. Tidak perlu ulang cuci atau khuatir solat tidak sah. Ibadah anda diterima.

 

Sehubungan itu, jika sekadar ragu-ragu atau samar-samar tanpa bukti yang kukuh terdapatnya najis, maka abaikan sahaja perasaan tersebut dan tempat, pakaian atau tubuh badan adalah kekal suci.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 25

message user image