Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt
Saya baru jual rumah yang rumah itu diwasiatkan pada saya oleh arwah ibu. Adakah saya perlu bayar zakat harta hasil jualan rumah itu?
Saya juga rancang untuk beli rumah lain sebagai ganti rumah utama hasil dari jualan rumah wasiat itu
Mohon berkongsi ilmu dengan saya, terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, dengan beranggapan bahawa wasiat yang diberikan adalah sah, secara umum rumah bukanlah harta yang tertakluk kepada zakat. Oleh itu, hasil jualan rumah tidak wajib dikenakan zakat, melainkan sekiranya dalam tempoh setahun dari tarikh hasil jualan itu diperolehi dicampur dengan simpanan wang yang lain mencukupi nisab (iaitu nilai 85 gam emas semasa), maka ketika itu wajib baginya zakat wang simpanan. Tiada halangan untuk menggunakan hasil jualan rumah tersebut bagi membeli rumah yang lain.
Sekian, terima kasih.