Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt ustaz/ustazah
Saya telah berkahwin selama 33 tahun. Selama perkahwinan saya, suami kerap bertukar-tukar kerja dan sejak saya melahirkan anak kelima pada tahun 2000, suami terus tidak mahu bekerja atas alasan gaji saya lebih besar dan saya mampu menanggung kesemua perbelanjaan keluarga. Di tahun-tahun awal perkahwinan, saya tidak keberatan kalau suami selalu tukar kerja sebab saya mampu menanggung keluarga. Suami seorang yang sihat tubuh badan, cukup akal fikiran. Saya banyak keluar modal untuk dia berniaga dengan alasan dia tak suka di perintah oleh orang lain. Masalah nya semua perniagaan hancur dan dia kembali duduk di rumah saja. Suami juga jarang menolong kerja-kerja di rumah, masih mengharapkan saya yang uruskan segala nya. Lama kelamaan, saya terasa seolah suami mengambil kesempatan atas kemampuan saya melakukan segala-gala nya dari menyekolahkan anak hingga ke universiti, menanggung segala hutang-hutang, dll. selama 33 tahun ni.
Saya ada dengar ceramah agama yang mengatakan kalau isteri redha dan sabar suami makan duit isteri, tidak jadi dosa atau hutang keatas suami. Insya Allah, saya redha tapi kadang-kadang saya juga rasa terbeban. Ada masa bila suami minta duit, saya beri tapi dalam hati rasa marah kerana saya rasa dia hanya pentingkan diri sendiri saja. Adakah saya yang berdosa kerana rasa marah tapi tak sanggup meluahkan kemarahan saya sebab masih rasa hormat pada suami?
Saya pernah beritahu pada anak-anak yang saya ingin meminta cerai tapi suami dapat tahu dan cakap dia tak akan ceraikan saya sebab sayang. Saya rasa terperangkap tapi masih sabar. Kami sudah tidor di bilik berasingan sebab saya dah terus terang pada suami, saya tak ada perasaan sayang lagi. Hidup kami di mata orang macam pasangan lain tapi sebenarnya saya hanya cakap bila perlu dan selebihnya berhubung melalui whatsapp saja. Adakah saya isteri durhaka dan berdosa?
Jawapan
Secara asasnya suami bertanggungjawab menyediakan nafkah kepada isteri dan anak-anaknya. Suami wajib berusaha sedaya upaya untuk memenuhi dan melunaskan tanggungjawabnya tersebut. Walaupun isterinya berpendapatan besar namun ia tidak menyebabkan suami boleh mengambil tindakan sambil lewa dalam melunaskan tanggungjawabnya itu. Tindakan isteri membantu adalah berasaskan keredhaan dan keikhlasannya untuk mengurangkan beban suami.
Walaupun begitu, kelalaian dan ketidakmampuan suami melaksanakan tanggungjawab nafkah tidak menjadi sebab kepada keengganan isteri melayan suaminya. Dalam Islam, isteri dilarang menafikan hak suami ke atas dirinya, bahkan menolak permintaan suami untuk bersama atau tidur bersama atau bersetubuh dengan alasan yang tidak dibenarkan syarak adalah berdosa besar melainkan pada keuzuran syarak seperti ketika haid, nifas, keadaan zihar, sakit dan ketika ihram.
Oleh yang demikian, sebaiknya kedua-dua pasangan saling berbincang bagi mencari kesefahaman dan kesepakatan dalam hubungan suami isteri untuk memelihara hak kedua-dua pasangan. Puan dan suami boleh merujuk ke mana-mana Pejabat Agama Islam Daerah yang berhampiran untuk menjadi orang tengah bagi membantu mencari solusi atau jalan yang terbaik dalam membina kembali perasaan saling sayang menyangi, bantu membantu dan hormat menghormati. Suami sewajarnya memahami dan menghargai pengorbanan isteri dengan berinteraksi dengan baik, membantu mengurangkan bebanan isteri di rumah atau sebagainya, begitu juga sebaliknya. Perbanyakkanlah berdoa dan solat hajat agar Allah SWT membantu memudahkan urusan puan dan suami serta diberikan jalan yang terbaik dalam mengharungi ujian dan dugaan yang berlaku ini.
Sekian, terima kasih