BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Salam, saya ingin bertanya. Isteri saya bernazar sekiranya dia mengandung, dia nak tunaikan umrah. Kini dia mengandung. Tetapi ketika mengandung, keadaan dia tidak berapa sihat dan ditakuti akan memberi kesan kepada bayi jika menunaikan umrah.

Boleh ke sekiranya nazar umrah tersebut ditangguh sehingga lepas bersalin dan sihat tubuh badan?

Atau perlu menukar semula niat nazar itu?

Atau perlu membayar kafarah?

Mohon pencerahan.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.

Di dalam kitab al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Shafi'i, nazar dari sudut istilah ialah apa yang disebutkan oleh para ulama’ iaitu:

اِلْتِزَامُ قُربُةِ لَم تَتَعَيَّن فِي الشَّرْعِ، إِمَّا مُطْلَقًا، أَوْ مُعَلَّقًا عَلَى شَيْء

Maksudnya: Mewajibkan atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak ditentukan dalam syara’, sama ada secara mutlak atau pun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara. 

Begitu juga, Allah SWT memerintahkan umat Islam untuk menunaikan nazar yang telah dilafazkan sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 29:

ثُمَّ لْيَقْضُوا تَفَثَهُمْ وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ

Maksudnya: Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya, dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.

Justeru berdasarkan situasi yang dinyatakan, lafaz nazar tersebut tidak mengikat kepada sesuatu masa yang tertentu. Oleh itu nazar tersebut boleh dilaksanakan pada mana-mana waktu yang dikira sesuai. Namun begitu, perlu diingatkan bahawa nazar tersebut mesti dilaksanakan sebagai menunaikan janji kepada Allah SWT atas hajat yang telah tercapai. Semoga dipermudahkan urusan tuan sekeluarga. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 26

message user image