Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam,
Emak saya telah menangkap saya menghisap rokok apabila tangan saya berbau rokok. Kerana ketakutan, saya bersumpah demi Allah, mengatakan saya tidak melakukan walaupun saya menghisap rokok. adakah saya perlu membayar kafarrah?
Terima kasih
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Sumpah dari segi istilah syarak bermaksud : Sesuatu lafaz yang menguatkan sesuatu perkara dengan disabitkan menyebut bersamanya nama Allah SWT atau sifat-Nya dengan lafaz yang khusus.
Dan di antara dalil pensyariatannya seperti firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 224 :
Maksudnya: (Dan janganlah kamu jadikan nama) Allah dalam sumpah kamu sebagai benteng yang menghalangi kamu daripada berbuat baik dan bertaqwa, serta mendamaikan perbalahan antara sesama manusia. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa mengetahui.
Di antara syarat yang menyebabkan dikenakan kaffarah adalah sumpah yang didatangkan dengan lafaz nama Allah SWT atau sifat-Nya. Sekiranya sebaliknya maka sumpah itu tidak dikenakan kaffarah. Perkara ini dinyatakan Syeikh Dr Muhammad Al-Zuhaili di dalam kitabnya Al-Mu'tamad fi Al-Fiqh Al-Syafi'i: Dan sekiranya berkata: aku bersumpah atau aku berazam untuk melakukan itu dan ini, tanpa menyebut nama Allah SWT tidak dikira sebagai sumpah (al-Yamin) walaupun berniat sumpah. Ini kerana sumpah (al-Yamin) tidak dikira melainkan menyebut nama Allah atau Sifat-Nya untuk mengukuhkan sumpahnya.
Namun begitu, sumpah yang dikemukakan oleh tuan tidak dikenakan kaffarah kerana ia melibatkan penggunaan nama Allah untuk menguatkan sesuatu yang tidak benar. Oleh itu, kesalahan tersebut perlu dihapuskan dengan jalan taubat serta menyesali perbuatan tersebut dan beristighfar kepada Allah untuk tidak mengulanginya. Bersumpah untuk menguatkan pembohongan adalah satu dosa yang besar.
Sekian, terima kasih.