Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Ustaz,
Saya ingin bertanya.
Saya bergaduh dengan isteri, dan menyebut "sekira nya kereta saya tersadai, kita cerai"
Ini berlaku apabila, isteri saya mahu guna kereta saya pada esok hari dan tidak mahu isi minyak.
Adakah lafaz ini berterusan sampi bila bila?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, lafaz yang disebut iaitu : "sekira nya kereta saya tersadai, kita cerai" boleh dikategorikan sebagai lafaz taklik yang sorih. Jika taklik itu dilafazkan berdasarkan situasi yang dimaksudkan (esok hari) maka ia terpakai pada esok hari sahaja. Tidak dibawa ke hari seterusnya dan luput pada esok hari seperti yang diniatkan oleh suami. Adapun jika isteri membawa kereta itu pada esok hari dan kereta tersadai, maka talak boleh jatuh. Sekiranya isteri membawa kereta itu tetapi tidak tersadai, maka talak tidak jatuh. Maksudnya, lafaz itu terpakai pada esok hari dengan syarat kereta itu tersadai, yang boleh menyebabkan jatuh talak.
Walaubagaimanapun, saudara boleh dapatkan kepastian dan pengesahan melalui Mahkamah Syariah yang berhampiran tempat tinggal untuk pengesahan selanjutnya. Hanya pihak mahkamah sahaja yang boleh membuat keputusan berkenaan status perkahwinan saudara.
Sekian, terima kasih.