BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz. 

Saya ingin bertanya,

Isteri saya ada masalah irama jantung yang tidak stabil dan sedang dalam rawatan hospital pakar jantung. Baru-baru ini beliau perlu memakai sejenis alat bagi mengenal pasti jenis irama jantung tersebut dan alat itu (ukuran 10x2cm) dilekatkan pada dada bahagian kiri. Alat itu perlu dipakai selama 3 hari dan tidak boleh ditanggalkan atas arahan anggota kesihatan. 

Saya ada melakukan hubungan intim bersama isteri tanpa menyedari masalah yg bakal dihadapi apabila isteri perlu mandi wajib dan air tidak sampai pada kulit dada pada tempat alat tersebut dilekatkan. 

Soalan saya, bagaimana isteri saya boleh mandi wajib dalam keadaan seperti ini? 

Terima kasih atas pencerahan ustaz


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.

Mandi wajib dari sudut syarak  bermaksud mengalirkan air ke seluruh tubuh dengan niat tertentu atau mengangkat (menghilangkan) hadas besar, seperti mandi junub, mandi kerana selesai haid atau nifas dan sebagainya. Dalam melaksanakan mandi wajib ini, para ulama’ telah menetapkan bahawa rukun bagi mandi wajib hanya tiga, iaitu:

  1. Niat.
  2. Menghilangkan najis jika sekiranya ada pada badan.
  3. Meratakan air ke seluruh rambut (bulu-bulu) dan badan.

Apabila berlakunya perkara yang mewajibkan seseorang itu mandi, maka hendaklah dia berniat dan meratakan air keseluruh anggota badan termasuklah semua bulu dan kulit. Ini sebagaimana yang disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah R.Anha, beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: كَانَ إِذَا اغْتَسَلَ مِنَ الجَنَابَةِ، بَدَأَ فَغَسَلَ يَدَيْهِ، ثُمَّ يَتَوَضَّأُ كَمَا يَتَوَضَّأُ لِلصَّلاَةِ، ثُمَّ يُدْخِلُ أَصَابِعَهُ فِي المَاءِ، فَيُخَلِّلُ بِهَا أُصُولَ شَعَرِهِ، ثُمَّ يَصُبُّ عَلَى رَأْسِهِ ثَلاَثَ غُرَفٍ بِيَدَيْهِ، ثُمَّ يُفِيضُ المَاءَ عَلَى جِلْدِهِ كُلِّهِ

Maksudnya: Sesunggunya, apabila Nabi SAW mandi junub, Baginda akan memulakannya dengan mencuci kedua-dua tangannya. Kemudian Baginda berwuduk sebagaimana wuduk untuk solat. Seterusnya, Baginda memasukkan jari-jari ke dalam air lalu meratakannya ke kulit rambutnya. Kemudian Baginda menyiramkan air ke atas kepala dengan kedua-dua tangannya sebanyak tiga kali, seterusnya Baginda mengalirkan air ke seluruh kulit tubuhnya. (Riwayat al-Bukhari)

Selain itu, Imam Nawawi menjelaskan situasi seorang yang ada sesuatu yang menghalang air sampai ke kulitnya ketika wuduk dan mandi wajib, kata beliau:

 إذَا كَانَ عَلَى بَعْضِ أعضائه شمع أو عجين أو حناء واشتباه ذلك فمنع وصول الماء الى شئ من العضو لم تصح طهارته سواء كثر ذَلِكَ أَمْ قَلَّ

Maksudnya: Jika terdapat lilin, tepung, inai dan sebagainya sama ada banyak atau sedikit dan boleh menghalang air sampai pada sebahagian anggota tersebut, maka tidak sah taharahnya. (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, al-Nawawi, 1/467)

Oleh itu, seseorang yang mengangkat hadas sama ada dengan mandi wajib atau wuduk, hendaklah memastikan air diratakan ke kulit dan tidak terhalang oleh apa-apa jua benda yang bersifat kalis air seperti penggunaan tampalan.

Seseorang yang mandi wajib perlu meratakan air ke seluruh tubuh badan untuk mengangkat hadas besar.  Berhubung masalah yang dihadapi iaitu penampalan alatan kesihatan pada tubuh yang boleh menjejaskan fungsinya jika ditanggalkan, maka perkara dibincangkan dalam perbahasan jabirah (balutan patah), ‘isabah (balutan luka), lasuq (pelekat) dan luka yang tidak boleh dikenakan air. 

Menurut mazhab Shafi'i disyaratkan ketika hendak membalut luka hendaklah memakainya dalam keadaan suci (taharah) daripada hadas kecil dan hadas besar, iaitu sudah mengambil wuduk agar urusan ibadahnya terutama solat fardu menjadi mudah dan tidak perlu digantikan semula. Hal ini adalah sebagaimana yang dijelaskan Imam al-Nawawi dalam al-Majmuk.

وَالصَّحِيحُ الْمَشْهُورُ أَنَّهُ يَجِبُ وَضْعُهَا عَلَى طُهْرٍ مطلقا

Maksudnya: Sahih Masyhur bahawa wajib meletakkan (jabirah) dalam keadaan bersuci secara mutlak.

Sekiranya dia tidak menampal dalam keadaan taharah, maka dia hendaklah menggantikan solat tersebut setelah dia sihat. Pesakit yang menampal alat kesihatan hendaklah mandi wajib dengan mengalirkan air seperti biasa ke seluruh tubuh badan. Tambahan pula, hendaklah bertayamum bagi menggantikan kawasan yang tidak kena air tersebut. Hal ini berdasarkan zahir riwayat yang mauquf daripada Ibn Umar RA yang disebutkan oleh Imam al-Baihaqi dan dinukilkan juga oleh Imam al-Nawawi dalam al-Majmuk.

أَنَّ ابْنَ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا تَوَضَّأَ وَكَفُّهُ مَعْصُوبَةٌ فَمَسَحَ عَلَيْهَا وَعَلَى الْعِصَابَةِ وَغَسَلَ مَا سِوَى ذَلِكَ

Maksudnya: Sesungguhnya Ibn Umar RA berwuduk dan tangannya dalam keadaan berbalut, lalu dia menyapu (air) ke atas tangannya serta ke atas balutan dan membasuh anggota selainnya.

Pengunaan apa-apa bentuk alat tampalan (patch) yang kalis air untuk apa jua kegunaan perubatan akan menyebabkan mandi wajib menjadi tidak sah. Demikian juga wuduknya juga tidak sah sekiranya tampalan melibatkan bahagian pada anggota wuduk. Justeru wanita yang mengguna tampalan hendaklah menanggalkan tampalan yang bersifat kalis air sebelum mandi wajib atau ketika mengambil wuduk sekiranya ditampal pada bahagian anggota wuduk. Hal ini kerana penggunaan tampalan ini dilihat bukan sesuatu keperluan yang darurat (ضروري) sehingga menyebabkan kemudaratan kepada anggota badan jika menanggalkannya ketika mandi wajib.

Namun, jika ia benar-benar suatu keperluan sehingga apabila menanggalkannya maka mendatangkan kemudaratan pada anggota badan, maka diharuskan menyapu di atas balutan bagi mengharuskan solat. 

 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 22

message user image