Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum
Saya dan suami tinggal bersama keluarga saya. Ada suatu hari, saya berselisihan faham dengan suami, dan saya tidak mengizinkan suami pulang ke rumah keluarga saya. Saya berkeras jika dia balik, saya akan minta keluarga saya halau dia. Saya tak nak berjumpa dengan suami berbulan-bulan. Saya desak suami untuk lepaskan saya, tapi dia tak mahu melepaskan. Untuk pengetahuan, kami telah pun bercerai sebanyak 2 kali dan rujuk.
Suami tak mengalah nak berbaik dengan saya, tapi saya tak beri kerjasama. Saya menolak untuk berjumpa dengan suami. Dan paksa dia untuk lepaskan saya juga. Suami telah menegaskan dia takkan lepaskan saya, kerana itu talak yg terakhir untuk dia selamatkan. Saya berkeras nak berpisah lalu meminta keluarga saya, untuk paksa dia lepaskan saya.
Setelah diberi tekanan, dia akhirnya melepaskan saya dengan terpaksa, tanpa kerelaan hati kerana saya langsung tak nak berjumpa dengan dia selagi dia tidak melepaskan saya. Suami kemurungan selepas kejadian, dan seminggu selepas itu, dia terlibat dalam kemalangan yang teruk ketika keluar untuk urusan temu duga pekerjaan. Keadaan ini telah memudaratkan diri dia.
Setelah dia sembuh, saya meminta dia untuk pergi ke mahkamah untuk failkan perceraian itu. Tapi suami menolak kerana dia tak rela melepaskan saya.
Persoalan saya, sah atau tidak talak tersebut. Kerana suami kata dia tak rela dan tiada pilihan untuk kembali semula bersama saya. Sebab saya telah meminta ibu bapa saya untuk menyuruh dia melepaskan saya.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, pengesahan talak tersebut sama ada sah atau tidak adalah berdasarkan kepada ayat yang dilafaz oleh suami. Sekiranya lafaz itu sorih (jelas) walaupun tanpa niat boleh menyebabkan jatuh talak ke atas isteri. Sekiranya lafaz itu kinayah (kiasan), ia memerlukan kepada niat suami. Sama ada suami berniat cerai atau tidak semasa melafazkan ayat tersebut maka keputusannya akan dikeluarkan oleh Hakim Syarie. Begitu juga dakwaan yang suami dipaksa untuk menceraikan isteri tergantung kepada ketetapan Hakim. Justeru, perkara ini hendaklah dikemukakan terus ke pihak Mahkamah Syariah yang berhampiran tempat tinggal untuk tindakan selanjutnya.
Sekian, terima kasih.